Pages

Sunday, 13 July 2008

Kelantan mahu NGV dipasang di stesen minyak di seluruh jajahan

Kelantan meminta kerajaan pusat menyediakan stesen minyak yang menyediakan kemudahan gas asli untuk kenderaan (NGV) di negeri ini seperti terdapat di negeri-negeri pantai barat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, penggunaan gas asli jauh lebih murah berbanding petrol atau diesel.

Oleh itu bagi menjayakan hasrat itu kerajaan negeri akan mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Petronas bagi memohon menyediakan kemudahan NGV di Kelantan.

Buat masa sekarang kita belum membincangkannya dengan kerajaan pusat berhubung perkara itu,katanya di sini.

Baru-baru ini Husam mengadakan mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil syarikat pembekal dan stesen minyak di sini mengenai cadangan tersebut.

Menurutnya perkara itu dijangka selesai dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas mendapat persetujuan kerajaan pusat.

Menurutnya pihak terbabit hanya perlu membekalkan bahan api itu sahaja, manakala kemudahan lain termasuk pam, pembekalan tiub NGV, setor dan pengangkutan akan diurus kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan negeri bercadang menerokai penggunaan kuasa solar dan bebaling angin dalam usaha menjimatkan penggunaan elektrik untuk rakyat.

Menurut beliau sekiranya berjaya ia akan dimulakan di kawasan pedalaman.

Selain itu cadangan penggunaan tenaga solar akan diterokai kerajaan negeri untuk diaplikasikan sepenuhnya di kampung-kampung sebelum ia digunakan secara meluas di tempat-tempat lain.

Penggunaan bebaling angin juga boleh dicuba kerana kini kita perlu mencari peluang menggunakan teknologi yang mampu menjimatkan kos, ujarnya.

Menurutnya pemasangan peralatan menggunakan tenaga solar diakui mahal, bagaimanapun dengan pembangunan teknologi yang semakin canggih kosnya kini sudah berkurangan.

Oleh itu, katanya kerajaan perlu merancang penggunaan tenaga yang lebih canggih seiring dengan perkembangan teknolgi moden bagi manfaat rakyat.

Source : Harakah