Pages

Sunday, 11 July 2010

Petronas Kenal Pasti Sumber Tompokan Minyak

Petronas telah mengenal pasti kerosakan pada saluran paip pengeluaran yang dikendalikan oleh Newfield Peninsula Malaysia Inc, sebagai punca tompokan minyak yang dilihat berhampiran pelantar minyak di luar pantai Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Penyiasatan di dasar laut awal pagi tadi mengesan satu titik kerosakan pada saluran paip pengeluaran yang dikendalikan oleh Newfield Peninsula Malaysia Inc," katanya dalam satu kenyataan.

"Hasil siasatan visual awal menunjukkan saluran paip itu rosak akibat kegiatan sebuah kapal marin yang tidak dikenal pasti, dan tidak mempunyai kaitan dengan operasi Newfield.

"Kerja-kerja baik pulih di saluran paip yang terjejas itu sedang dijalankan," katanya.

Petronas mengambil langkah-langkah kecemasan dengan menutup saluran paip pengeluaran di pelantar yang terletak 240 km dari pantai itu, selepas satu lapisan tipis kesan minyak dilihat.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas juga berkata saluran paip pengeluaran Petronas Carigali dan ExxonMobil Exploration and Production Inc, yang telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga itu menyambung operasi masing-masing sejak awal hari Sabtu.

Ia juga berkata pasukan kecemasan dan respons tumpahan bersama sedang membersihkan saki baki tompokan minyak itu manakala pengawasan akan diteruskan bagi memantau situasi tersebut.

PETRONAS berkata ia akan memberikan maklumat terkini jika dan bila ada perkembangan baharu.

Sumber : Bernama