Pages

Thursday, 27 September 2012

Urusniaga AGEX dijangka cecah RM307 juta



Ekspo Minyak dan Gas ASEAN (AGEX) 2012 dijangka menarik urusniaga bernilai AS$100 juta (RM307 juta) berbanding AS$80 juta (RM245.6 juta) pada tahun lepas.

Pengarah Urusan Fireworks Trade Media, Jerel Soo berkata, ekspo itu merupakan platform terbaik untuk meninjau peluang perniagaan minyak dan gas.

“Selain itu, peserta juga berpeluang mengembangkan perniagaan dan menembusi perniagaan yang baru berkembang di Sabah.

“Kita juga menjangkakan lebih ramai penggiat industri untuk turut serta," katanya pada sidang media ekspo tersebut di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Shipyard & Engineering Sdn. Bhd., Mohd. Azman Nasir.

Ekspo selama tiga hari yang bermula pada 30 September dan berakhir pada 1 November ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Kewangan Labuan.

Nong Chik berkata, industri gas dan minyak dikenal pasti sebagai tiga faktor utama yang diberi fokus Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan peluang ini diambil dalam meningkatkan ekonomi Labuan.

“Labuan yang kaya dengan hasil minyak dan gas harus digunakan dengan sebaik-baiknya dan pengunjung serta peserta perlu memanfaatkan peluang ini untuk bertukar pengetahuan serta menjana pendapatan mereka," katanya. - Utusan