Pages
▼
Wednesday, 3 October 2012
Loji nuklear belum ada keputusan
Kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanaan projek pembinaan loji jana kuasa nuklear ataupun lokasi tapaknya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, aktiviti yang dilaksanakan sekarang hanya tertumpu kepada kajian-kajian terperinci untuk mengenal pasti pelbagai keperluan dan persediaan awal negara sekiranya projek tersebut dilaksanakan.
''Aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti yang telah dibukukan dan diumumkan dalam Program Transformasi Ekonomi.
''Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk memastikan semua aspek persediaan diambil kira secara terperinci dan komprehensif sekiranya penjanaan kuasa nuklear diperlukan bagi memenuhi permintaan tenaga negara pada masa depan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tong Him meminta Perdana Menteri menyatakan tentang kedudukan terkini projek pembinaan loji tenaga nuklear termasuk dari segi persediaan serta lokasi yang dicadangkan.
Sementara itu, beliau memberitahu, kajian menyeluruh tentang kesediaan perundangan dan kawal selia nuklear negara sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada awal tahun 2013.
Jelasnya, untuk kajian terperinci bagi mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan loji jana kuasa nuklear, kriteria pemilihan nanti adalah mengikut syor daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
''Perundangan dan peraturan negara juga akan dipatuhi termasuk dari segi Penilaian Impak Alam Sekitar, Penilaian Impak Radiologi, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Kesihatan.
''Bagaimanapun kini hanya kajian pemilihan tapak yang berdasarkan pelbagai peta digital sahaja telah dijalankan tanpa sebarang kerja lapangan," katanya.