Pages
▼
Monday, 15 October 2012
Misi minyak dan gas ke Kazakhstan berjaya
Syarikat Malaysia berjaya menjana jualan sebanyak RM195 juta (AS$64 juta) ketika menyertai Misi Pemasaran Khusus (SMM) bagi minyak dan gas sempena Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Antarabangsa Kazakhstan (KIOGE) 2012.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Zakaria Kamarudin berkata, jualan tersebut dijana daripada pelbagai produk dan perkhidmatan.
"Ia meliputi perkhidmatan kejuruteraan, gasket, meterai dan sendi pengembangan, pengangkutan produk dan perkhidmatan halal, bahan-bahan radioaktif dan lain-lain.
"Syarikat-syarikat Malaysia mengadakan pertemuan dengan pulangan hasil yang banyak dan nilai jualan yang dijana adalah enam kali lebih daripada SMM sempena Forum Antarabangsa Ekonomi Dunia yang dianjurkan pada tahun lepas," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.
Dalam pada itu juga, Zakaria menggesa syarikat-syarikat yang mengambil bahagian mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan kesan yang lebih baik dari segi kekuatan dan saiz kehadiran mereka di pasaran tempatan serta memudahkan kerjasama dengan rakan sejawatannya dari Kazakhstan.
Sementara itu, Penasihat Perdagangan Matrade, Dr. Ali Sher mencadangkan agar syarikat-syarikat Malaysia membentuk konsortium-konsortium tersendiri dalam usaha memasuki ke pasaran Kazakhstan dengan skala yang lebih besar dan kuat.