Pages
▼
Tuesday, 2 October 2012
RM23b bina paip minyak, gas
Industri minyak dan gas dijangka membelanjakan sebanyak AS$7.2 bilion (RM23 bilion) bagi pembinaan saluran paip sepanjang 2,490 kilometer untuk pembangunan laut dalam bagi tempoh lima tahun.
Pelaburan tersebut menyaksikan Malaysia mempunyai saluran paip minyak dan gas terpanjang di Asia.
Laporan Perspektif Luar Persisir Minyak dan Gas Asia menjangkakan pembangunan minyak dan gas laut dalam Malaysia akan terus berkembang dengan 84 pelantar tetap dan lapan buah pengeluaran terapung akan dibangunkan antara 2011 hingga 2015.
Lembaga Pengarah Persidangan Teknologi Luar Persisir (OTC), Dr Arnis Judzis berkata, Malaysia dijangka menjadi peneraju pembangunan 'subsea' dengan 57 buah pelantar akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun.
''Dunia dan rantau akan terus mencari sumber hidrokarbon yang belum ditemui serta memaksimumkan pengeluaran dari medan (minyak) sedia ada, perbelanjaan modal (capex) bagi aktiviti eksplorasi dan pengeluaran (E&P) adalah penting kepada negara-negara seperti Malaysia.
''Pelaburan capex tersebut adalah bagi menangani isu pengurangan pengeluaran dan terus bersaing dengan pemain-pemain industri baru dari negara-negara lebih kecil seperti Bangladesh dan Myanmar yang memasuki pasaran,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran OTC Asia 2014 di sini baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Shamsul Azhar Abas.
Tambah Judzis, Asia dilihat semakin penting sebagai lokasi eksplorasi minyak dan gas dunia kerana disokong oleh fundamental kukuh, termasuk pertumbuhan ekonomi yang baik dan peningkatan harga minyak.
''Perkara itu menyebabkan banyak pengendali antarabangsa mengembangkan aktiviti eksplorasi dan pengeluaran minyak di rantau ini.
''Memandangkan permintaan semakin tinggi, kami menjangkakan pemain-pemain industri memerlukan teknologi terkini dalam mempercepatkan proses E&P dalam beberapa tahun akan datang,'' jelasnya.
Judzis berkata, dengan penganjuran OTC Asia 2014, permintaan terhadap teknologi terkini industri akan dapat dipenuhi kerana menyediakan platform perkongsian pengalaman dan pengetahuan teknikal.
OTC Asia 2014 akan diadakan pada 25 hingga 28 Mac 2014 di Kuala Lumpur.
Penganjuran tersebut dijangka menarik minat 10,000 jurutera, eksekutif, pengendali, saintis dan pengurus dari industri E&P mewakili 50 negara.