Pages
▼
Wednesday, 12 December 2012
Medan minyak baru milik Terengganu
Kawasan medan minyak yang baru di Blok PM 307 Bertam di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang adalah milik Terengganu.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri telah menulis surat secara rasmi kepada Petronas untuk mendapatkan penjelasan mengenai penemuan minyak di blok berkenaan dan setakat ini jawapan rasmi masih belum diperoleh.
"Kita menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu," katanya dipetik Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) yang ingin tahu status hak milik kerajaan Terengganu ke atas medan minyak berkenaan dan kedudukan terakhir tuntutan royalti minyak dari Petronas dan Kerajaan Pusat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.
Pada 30 Oktober lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, bukan sekadar memberi manfaat kepada negeri ini, malah dikongsi manfaatnya oleh negeri-negeri lain.
Adnan berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari yang sama, 30 Oktober lalu bahawa Pahang dijangka menerima wang ihsan sekitar RM100 juta setahun, juga dilihat bakal memberi impak besar kepada ekonomi Pahang.
Perdana Menteri mengumumkan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.
Medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, negeri Pahang dijangka menerima wang ihsan sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.
Dalam kenyataannya hari ini, Ahmad juga berkata, kerajaan negeri dimaklumkan bahawa keseluruhan bayaran tuntutan minyak dari kerajaan negeri bakal diterima dari Petronas melalui kerajaan pusat pada Mac 2013.
Katanya bayaran itu diberi setelah kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mencapai kata sepakat mengenai tuntutan itu.
Mengenai penarikan balik saman kerajaan negeri terhadap Petronas, Ahmad berkata, ia berasaskan kepada persetujuan Kerajaan Pusat untuk menjelaskan kesemua bayaran dari Petronas kepada kerajaan Terengganu yang dipanggil Dana Khas sebagaimana perjanjian asal.
"Sebelum ini, Petronas membuat bayaran dua kali iaitu minggu pertama bulan Mac dan September manakala kerajaan pusat akan membayar minggu keempat kepada kerajaan negeri dan semua bayaran akan dibuat sepenuhnya pada tahun hadapan tanpa sebarang potongan," katanya bagi menjawab soalan tambahan Dr Azman.
Berasaskan kepada perkara itulah, Ahmad berkata, kerajaan negeri bersetuju menarik balik saman tersebut kerana yang penting kerajaan negeri mendapat keseluruhan wang yang sepatutnya diterima dari Petronas.
Pada sidang medianya selepas itu, Ahmad berkata, tahun ini, Terengganu menerima RM2 bilion Dana Khas dari Petronas berbanding RM1.6 bilion tahun lalu.
"Penemuan medan rizab minyak baharu di PM307 dijangka memberi tambahan lima peratus atau sekitar RM100 juta setahun, bergantung pada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga 2014," katanya.