Pages

Friday, 11 April 2014

Gebeng sebagai hab petrokimia - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kompleks Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. di sini yang dibangunkan dengan pelaburan RM1.5 bilion mampu meletakkan Gebeng sebagai sebuah pusat industri kimia bernilai tinggi di rantau Asia Pasifik.

Menurut Perdana Menteri, apabila beroperasi pada 2016 kelak, adalah diharapkan kompleks itu mampu menarik lebih banyak pelaburan termasuk dalam industri sokongan selain menjana pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan yang memberi manfaat besar kepada negara dan Pahang khususnya.

"Saya juga percaya projek ini yang akan menampilkan teknologi dan inovasi tertinggi Jerman dalam penghasilan bahan kimia khusus dalam bentuk bahan aroma mencerminkan kesungguhan strategi untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi menerusi industri berasaskan pengetahuan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals di Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pre­siden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Pengerusi BASF Petronas Chemicals, Datuk Wan Zul­kiflee Wan Ariffin dan Naib Pengerusi Lembaga Pengarah BASF SE bagi Asia Pa­sifik, Dr. Martin Brudermuler.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek itu juga akan memperlihatkan kejayaan negara secara keseluruhan dalam menuju cita-cita menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

"Saya juga berkeyakinan pembinaan kompleks ini akan diuar-uarkan ke seluruh dunia yang mampu memperlihatkan Malaysia amat kompetitif dalam menerima pelaburan berimpak tinggi seperti ini," jelasnya.

Dalam ucapannya juga, Najib memaklumkan Kompleks Aroma Bersepadu BASF-Petronas Chemicals ini akan mewujudkan 120 peluang pekerjaan yang memerlukan kepakaran teknikal dalam kalangan pekerja tempatan.

Di samping itu katanya, projek itu juga akan mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan kompleks tersebut.

"Saya berharap aktiviti-aktiviti pembangunan perindustrian di kompleks tersebut akan mendorong lebih ramai anak-anak negeri Pahang khususnya dan Malaysia amnya untuk menceburi pekerjaan dalam bidang minyak, gas dan petrokimia.

"Negara amat memerlukan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi untuk berkhidmat dalam industri ini yang juga merupakan penyumbang tertinggi kepada pendapatan negara," jelasnya.

Perdana Menteri dalam pada itu berkata, kejayaan Petronas bagaima­napun bergantung kepada sokongan rakyat terhadap projek seperti Kompleks Bahan Aroma Bersepadu di BASF-Petronas Chemicals serta projek Petronas lain yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Ini merangkumi ujarnya, projek Loji Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang yang merupakan kompleks terbesar dari segi nilai pelaburan, projek Ammonia Urea Sabah (Samur) di Sipitang serta projek Petronas lain yang sedang diusahakan atau berada dalam tahap perancangan.