Pages

Tuesday, 8 April 2014

RAPID : Johor ikrar kerjasama dengan Petronas

Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Petronas untuk memastikan pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (KBP) di negeri ini berjalan lancar.

Sambil menyambut baik langkah itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya juga akan memastikan persekitaran projek itu berada dalam suasana kondusif.

“Kita sedia maklum, pembangunan projek ini melibatkan pelaburan yang besar dan usaha itu perlu dilakukan secara teliti dengan kerjasama semua pihak.

“Kita juga berharap dapat menyediakan tenaga kerja yang mahir dalam bidang-bidang yang diperlukan sektor itu," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Road To MAHA 2014 peringkat negeri di Dataran Penggaram di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed.

Semalam, Lembaga Pengarah Petronas meluluskan keputusan pelaburan akhir (FID) untuk pembangunan kompleks tersebut di Pengerang, Kota Tinggi.

FID yang diluluskan itu merupakan peristiwa penting dalam perkembangan projek KBP, mengandungi Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia berskala dunia dan kemudahan berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, ujar Mohamed Khaled, kerajaan negeri juga sedang membangunkan Akademi Petroleum Malaysia bagi melahirkan belia terlatih dalam industri minyak dan gas.

“Beberapa institusi seumpama itu akan dibangunkan menerusi kerjasama dengan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan pihak swasta, Prestariang Sdn. Bhd. Akademi itu dibangunkan dengan tujuan memastikan penduduk setempat menerima manfaat kerjaya di kawasan tersebut," katanya.