Pages

Monday, 22 September 2014

Bantah pembinaan janakuasa nuklear di Malaysia

Pada tahun ini, kerajaan akan memilih lokasi bagi membina janakuasa nuklear. Seluruh rakyat perlu membantah usaha ini kerana akibatnya kepada negara kita amat buruk sekali. Penggunaan tenaga nuklear ada banyak keburukan, termasuklah:

1. Radiasi, yang mengakibatkan kanser, mencemarkan air, tanah dan udara
2. Bahan buangan radioaktif mengancam nyawa manusia dan akibat radiasinya adalah ribuan tahun.
3. Jika berlaku kecuaian @ kemalangan di janakuasa nuklear, sekalipun kemalangan kecil, akibatnya amat dahsyat.
4. Eutrofikasi menyebabkan akibat buruk pada hidupan air

Pandangan yang mengatakan kononnya tenaga nuklear adalah tenaga yang boleh diperbaharui adalah pandangan yang amat tidak benar. Sepertimana tenaga bahan api fosil, tenaga nuklear juga bergantung pada bahan yang terhad bekalannya, iaitu uranium.

Apabila uranium habis, maka kita tidak dapat menjana tenaga nuklear. Jadi, apa bezanya uranium dengan petroleum? Tiada bezanya kerana kedua-duanya adalah bahan yang akan habis suatu hari nanti. Jangan biarkan diri kita terkeliru dengan pandangan bahwa tenaga nuklear adalah tenaga yang boleh diperbaharui (renewable). Hakikatnya, tenaga nuklear adalah tenaga tidak boleh diperbaharui (non-renewable).

Pihak kerajaan sering mengatakan bahwa projek tenaga nuklear akan mendatangkan kebaikan ekonomi kepada negara. Banyak sangatkah wang ringgit yang akan negara peroleh susulan projek tenaga nuklear? Hakikatnya adalah sebesar manapun duit yang kita dapat, ia tak berbaloi dengan akibat yang akan ditanggung, lebih-lebih lagi jika berlaku kecuaian dan kemalangan di janakuasa nuklear.

Kerajaan mempunyai rekod buruk dari segi penjagaan alam sekitar, yang bukan hanya dikaitkan dengan penguatkuasaan tidak berkesan, malah rasuah dan salahguna kuasa, contohnya:
1. Pencemaran sungai yang teruk – Terdapat banyak sungai mati dan sungai tercemar di Malaysia.
2. Pencemaran udara – Pembakaran terbuka berlaku secara berleluasa tanpa tindakan berkesan. Jerebu di Malaysia bukan hanya berpunca daripada pembakaran di Indonesia tapi juga pembakaran hutan dan pembakaran terbuka peringkat tempatan.
3. Pembalakan haram

Dengan rekod yang buruk dari segi penjagaan alam sekitar (dan juga rekod buruk aspek penyenggaraan dan pentadbiran secara am), adakah kita yakin apabila kerajaan berkata bahawa bahan buangan radioaktif akan dibuang dengan selamat dan kecuaian atau kemalangan takkan berlaku di janakuasa nuklear? Dah tentu tidak. Tak yakin sama sekali.

Jadi, marilah kita sama-sama membantah usaha mewujudkan industri tenaga nuklear di negara tercinta ini. Ini bukan hanya tentang masa depan kita, tapi juga anak cucu kita. Selain tenaga nuklear banyak pilihan lain boleh digunakan, termasuklah tenaga suria, angin, geotermal, ombak dan hidroelektrik. Kita sebagai negara di khatulistiwa dan dikelilingi laut/sumber air mampu memanfaatkan kesemua alternative itu. – Harakah (edited by Admin)