Pages

Tuesday, 30 September 2014

Petronas akan henti projek LNG RM32b di Kanada?

Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mungkin menghentikan pelaksanaan projek gas asli cecair (LNG) bernilai AS$10 bilion (RM32 bilion) di Kanada, ekoran tekanan cukai yang boleh menjejaskan pulangan pelaburan projek tersebut.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, usaha bagi merealisasikan projek tersebut kini tidak menentu dan pihaknya tidak dapat membuat Keputusan Pelaburan Akhir (FID) mengenainya menjelang akhir tahun ini.

Katanya, di tengah-tengah masalah kelewatan proses mendapatkan kelulusan, pengenalan cukai LNG oleh kerajaan tempatan serta kurangnya insentif, Petronas bersedia menghentikan projek tersebut.

"Daripada usaha untuk memastikan industri LNG di Kanada berkembang, kini situasi di sana mula tidak menentu," katanya kepada Financial Times.

Kerajaan wilayah British Columbia telah memperkenalkan cukai LNG antara 1.5 peratus dan tujuh peratus dan levi daripada pendapatan penjualan gas.

Petronas membeli rizab gas di wilayah pantai barat Kanada itu pada 2012 berharga RM15.7 bilion, dengan hasrat untuk membangunkan fasiliti pengeluaran LNG. Gas itu kemudiannya akan dieksport ke pasaran Asia yang sangat memerlukan sumber tersebut untuk penjanaan tenaga.

Pada peringkat awal, Petronas memiliki 100 peratus kepentingan ke atas rizab gas tersebut. Tetapi kini hanya memiliki 62 peratus selepas menjual 15 peratus kepentingan kepada Sinopec dari China, 10 peratus masing-masing kepada Japan Petroleum Exploration dan Indian Oil Corporation dan tiga peratus lagi kepada Petroleum Brunei.

Selain itu, Petronas juga meng­anggap cukai tersebut bakal membuatkan pembangunan projek tersebut tidak kompetitif. Ini memandangkan terdapatnya 13 lagi cadangan projek yang sama sedang diusahakan di kawasan pantai barat Kanada milik beberapa syarikat minyak terkemuka seperti Shell, ExxonMobil dan Chevron.

Bagaimanapun di dalam laporan Reuters, Perdana Menteri British Columbia, Christy Clark menjelaskan kenyataan yang dibuat oleh Shamsul merupakan sebahagian daripada taktik rundingan.

Kata beliau, pihaknya akan terus memberi kerjasama agar projek yang diketuai oleh Petronas itu akan tetap diteruskan.

"Rundingan tidak begitu mudah. Tetapi saya yakin kesemuannya mengikut perancangan dan yakin ia dapat diteruskan," katanya.

Kerajaan wilayah itu akan meng­umumkan perundangan cukai itu pada Oktober dan mendapat kelulusan pada penghujung November.