Pages

Friday, 21 August 2015

PETRONAS TIDAK BUANG PEKERJA UNTUK TANGANI PENURUNAN HARGA MINYAK


Petronas merancang untuk terus mengekalkan langkah-langkah penjimatan kosnya dan tidak memilih memberhentikan pekerja serta menjual aset bagi mengharungi senario suram dalam sektor minyak dan gas sekarang.

Naib Presiden Kanan Strategi Korporat dan Risikonya Adif Zulkifly berkata sehingga kini Petronas  berjaya berjimat sebanyak RM640 juta dengan mengoptimumkan logistik.

"Ini sangat memberangsangkan... ada beberapa inisiatif penjimatan kos lagi yang akan dilaksanakan," katanya semasa sesi ucap tama pada Sidang Kemuncak Asia Tenggara 2015 yang dipengantarakan oleh Kevin Plumberg, Editor Kanan The Economist, penerbitan yang berpangkalan di Britain.

Meskipun prospek suram bagi harga minyak global, Adif berkata Petronas akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM50 bilion setahun bagi perbelanjaan modal, yang mana majoriti dana akan disalurkan ke projek pembangunan bersepadu penapisan dan petrokimianya (Rapid) di Pengerang.
Beliau berkata harga minyak global yang sekarang ini berada sekitar AS$47 setong tidak akan meningkat dengan mendadak melainkan berlaku kejutan besar dalam permintaan.

"Kita sekarang berdepan masalah lebihan bekalan...kali terakhir kita berdepan situasi ini, industri mengambil masa hampir lima tahun untuk pulih.

"Situasi sekarang (harga minyak global yang rendah) dijangka kekal buat seketika dan kami hanya menjangkakan pemulihan sederhana dan tidak kembali ke paras AS$100 setong," katanya.

Selain lebihan bekalan, beliau juga berkata prospek lemah itu disebabkan oleh lebihan inventori pasaran dengan kapasiti simpanan menambah kira-kira 3 juta tong minyak sehari.

Bagaimanapun, Adif tetap optimis dengan menyatakan syarikat minyak dan gas nasional itu melihat situasi ini sebagai peluang untuk lebih berdisiplin dalam perbelanjaannya dengan memudahkan proses kerja dan mengoptimumkan operasi. – Bernama