Pages

Saturday, 9 March 2019

Petronas rekod pendapatan RM251B

Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) merekodkan peningkatan 22 peratus kepada RM55.3 bilion bagi tahun kewangan 2018 berbanding RM45.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Ia dipacu purata harga minyak yang lebih tinggi selain pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Pendapatan Kumpulan juga meningkat 12 peratus kepada RM251 bilion berbanding RM223.6 bilion bagi tahun kewangan sama.

Sementara itu bagi prestasi suku ke empat 2018, Petronas merekodkan PAT sejumlah RM14.3 bilion, penurunan 21 peratus berbanding RM18.2 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan bagi suku itu bagaimanapun meningkat 13 peratus kepada RM69.9 bilion berbanding RM61.8 bilion.

"Petronas merekodkan prestasi kewangan kukuh pada 2018 disokong usaha kami meningkatkan kecekapan operasi dan komersial kami," menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Pada 2018, Petronas melabur 46.8 bilion perbelanjaan modal merangkumi 54 peratus peringkat domestik dan 46 peratus peringkat antarabangsa.

"Bagi 2019, kami jangka akan melabur modal lebih tinggi dari RM50 bilion. Jika sebelum ini modal banyak dilabur untuk Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), kini ia akan dilaburkan untuk peluang baharu terutama pada bahagian huluan," katanya.

"Secara tradisi kami membelanjakan 70 peratus modal untuk pasaran domestik, namun susulan sumber minyak dan gas yang semakin berkurangan, kami perlu melabur di luar Malaysia.

"Namun jika dilihat secara keseluruhan dan jangka panjang, kami melabur secara signifikan di peringkat domestik," tambah Wan Zulkiflee.

Sementara itu Wan Zulkiflee menjangkakan industri minyak dan gas akan terus berdepan persekitaran mencabar susulan ketidaktentuan pasaran dan risiko geopolitik.


"Kami menetapkan segala perancangan kumpulan adalah berdasarkan penanda aras harga minyak AS$66 setong," tambah Wan Zulkiflee.