Pages

Wednesday, 13 March 2019

Suspek pencemar Sg. Kim Kim Pasir Gudang dijangka didakwa esok

Pemilik syarikat tayar kitar semula, antara tiga suspek ditahan Isnin lalu, yang dipercayai membuang sisa toksik ke Sungai Kim Kim baru-baru ini, dijangka didakwa di mahkamah seawalnya esok.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, kertas siasatan telahpun siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi tadi untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa.

"(Dan) kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum lima tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya kepada pemberita di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Beliau juga telah menghubungi Peguam Negara, Tommy Thomas, mengenai kemungkinan mengenakan beberapa tuduhan terhadap suspek memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius dan hukuman setakat ini tidak mencukupi.

"Memandangkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah siap siasatan, kita akan dakwa dahulu tetapi ia tidak dihadkan kepada undang-undang ini sahaja, dia boleh didakwa di atas Kanun Keseksaan dan mungkin akta lain," katanya.

Yeo berkata, berdasarkan keputusan analisis terhadap empat sampel diambil JAS, pihaknya mendapati terdapat pelarut organik benzene, toulena, xilena dan ethilbenzena serta D-Limonina. Pelarut D-Limonina digunakan untuk proses pirolysis tayar.

Berdasarkan analisis berkenaan, pihaknya telah mengenal pasti pemilik kilang haram itu sebagai suspek utama.
Ketika ditanya sejauh mana keluasan kawasan yang terjejas akibat pencemaran itu, Yeo berkata, pihaknya perlu memastikan punca pencemaran merebak terlebih dahulu.

"Saya fikir terdapat beberapa sebab dan faktor yang menyebabkan ia merebak, mungkin disebabkan oleh hujan pada 11 Mac," katanya.

Ditanya sama ada pencemaran itu telah dikawal, beliau berkata: "Kami mahu mengetahui keluasan kawasan (pencemaran). Saya akan menghadiri mesyuarat selepas ini, kami mahu mengetahuinya dan di mana sebenarnya (pencemaran) dan bagaimana mahu mengawalnya," katanya.

Yeo berkata, yang penting sekarang ialah kerja pembersihan sungai berkenaan (di bawah Kerajaan Negeri) secepat mungkin bagi mengekang pencemaran dari terus berlaku.

Sementara itu, JAS juga menyediakan serta memasang pengesan gas di ketinggian berbeza sekitar kawasan Pasir Gudang untuk memantau kualiti udara dan kandungan kimia.

JAS turut mengenal pasti 252 kilang di Pasir Gudang yang memproses bahan kimia.

"Kita akan gerakkan sumber seluruh negara untuk menyiasat setiap kilang selepas krisis ini. Sebab sekarang tumpuan utama, kita sekat dulu impak ini (kesan pencemaran) dan kemudian, kita akan siasat kilang lain," katanya.