Wednesday, 13 March 2019

Melaka teroka bidang minyak dan gas

Kerajaan Melaka berkongsi kepakaran dengan pihak swasta bagi meneroka bidang baharu membabitkan sektor cari gali minyak dan gas di negeri ini.


Perkongsian pintar di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) menerusi anak syarikatnya, PKNM Energy Sdn Bhd dengan Dayang Enterprise Sdn Bhd dan Main Velocity Sdn Bhd itu dijangka mampu menjadikan sektor terbabit sebagai sumber pendapatan baharu, sekali gus dapat menjana ekonomi.


Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata perkongsian kepakaran terbabit mampu memberi manfaat besar bukan saja kepada pembangunan ekonomi negeri, malah turut memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat.


Beliau berkata, menerusi perjanjian itu, semua syarikat berkenaan akan berusaha mencari peluang baharu dengan meneroka setiap lokasi strategik di negeri ini yang mempunyai bahan api terbabit.


"Tempoh setahun sudah memadai untuk kita meneroka bidang ini dan sudah pasti hasilnya nanti akan memberi keuntungan kepada negeri serta rakyat keseluruhannya," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tiga syarikat berkenaan di sini, hari ini.


PKNM Energy diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Ridhuan Affandi Abu Bakar; Dayang Enterprise diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Tengku Yusof Tengku Ahmad, manakala Main Velocity pula diwakili Pengarahnya, Syarifah Fatin Amirah Syed Abdul Rahman.


Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Hanafi Sakri.


Sementara itu, Ridhuan berkata, PKNM meluas dan mengembangkan lagi aktiviti perniagaan sedia ada dengan menceburi bidang minyak dan gas.


Katanya, usaha itu susulan terdapat banyak projek mega minyak dan gas di negeri ini seperti projek Diesel Euro Five oleh PETRONAS serta projek pengembangan loji jana kuasa eletrik oleh EDRA Energy.


"Dengan kepakaran yang ada pada Dayang Enterprise dan Main Velocity, hasrat untuk menceburi bidang minyak dan gas akan berjaya dilaksanakan, sekali gus dapat membuahkan hasil lebih baik serta menyumbang semula kepada pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.