Friday 28 February 2014

Petron labur lebih AS$1 bilion naik taraf kilang penapisan

Petron Corp. merancang untuk membelanjakan lebih AS$1 bilion dalam beberapa tahun akan datang untuk menaik taraf kilang penapisannya di Port Dickson, Negeri Sembilan, dan memperluas rangkaian runcit stesen minyak itu.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petron, Ramon S. Ang, yang juga Pengerusi Petron Malaysia, berkata syarikat itu menyasarkan untuk membina sekurang-kurangnya 30 lagi stesen tahun ini, selepas menyiapkan pembinaan 10 stesen dalam 2013.

Petron Malaysia ialah sebuah unit syarikat yang berpangkalan di Filipina, Petron Corp, syarikat penapisan dan pemasaran minyak terbesar di Filipina yang telah beroperasi sejak 80 tahun lalu.

"Kami sedang dalam proses mengkaji pemodenan kilang penapisan kami di Port Dickson untuk mengeluarkan minyak berkualiti tinggi," katanya kepada pemberita semasa pembukaan stesen minyak baharunya di Kepong di sini, oleh Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III, hari ini.

Presiden itu sedang dalam lawatan pertamanya ke Malaysia untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan dua hala. - BERNAMA

lazada