Wednesday 15 March 2017

Petronas catat keuntungan lebih rendah bagi 2016


Petronas mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM33.7 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016, susut lapan peratus berbanding RM36.7 bilion yang dicatatkan pada 2015.

Perolehan kumpulan bagi tahun tersebut merosot 17 peratus kepada RM204.9 bilion berbanding RM247.7 bilion yang dicatatkan pada 2015, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Penurunan itu mencerminkan harga purata yang rendah sejajar dengan trend penurunan harga penanda aras utama (Dated Brent dan Japan Customs Cleared Crude) selain kesan daripada jumlah jualan yang rendah.

Sementara itu, keuntungan kumpulan selepas cukai bagi 2016 sebanyak RM23.5 bilion, naik 12 peratus berbanding RM20.9 bilion dicatatkan pada 2015.

Ini disebabkan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan cukai yang rendah sebahagiannya diimbangi oleh harga purata yang rendah.