Friday 5 April 2013

Petronas minat beli syarikat AS




China National Petroleum Corp. (CNPC) dan Petronas dikatakan antara gergasi sektor minyak dan gas yang sedang menilai untuk mengambilalih aktiviti minyak dan gas luar pesisir milik Marathon Oil Corp di Angola, menurut sumber terdekat.

Perkembangan itu bakal menjadi aktiviti jual beli terbaharu sektor itu di Afrika, dengan syarikat dari Asia itu menunjukkan minat yang tinggi ke atas pasaran baru.

Marathon Oil Corp. merupakan syarikat kerdil minyak dan gas dari Amerika Syarikat (AS) yang turut mempunyai aktiviti di Iraq, Norway dan Poland.

Agensi berita Reuters menganggarkan sekurang-kurangnya AS$6 bilion (RM18.6 bilion) nilai aktiviti minyak dan gas milik syarikat dari AS itu telah dijual, akibat tekanan pemegang sahamnya yang mahu mengambil kesempatan ke atas kemampuan syarikat dari Asia membeli perniagaan mereka.

Tahun lalu, aktiviti penggabungan dan pengambilalihan di dalam sektor minyak dan gas bernilai RM1.072 trilion, dengan syarikat-syarikat dari Asia menguasai sehingga 19.6 peratus daripada nilai aktiviti tersebut.

Penguasaan itu telah meningkat daripada 7.6 peratus pada 2003.

Menurut penganalisis, kemampuan untuk membeli syarikat asing tidak menjadi satu masalah kepada syarikat-syarikat dari Asia, memandangkan mereka mendapat perlindungan penuh daripada kerajaan masing-masing.

Petronas tahun lalu telah membayar RM15 bilion untuk mendapatkan syarikat minyak dari Kanada, Progress Energy Resources Corp. Sementara CNPC pula, bulan lalu telah bersetuju membeli aktiviti minyak dan gas di Mozambique membabitkan nilai RM13.02 bilion.