Wednesday 17 April 2019

Video viral bukan kebakaran kilang di Gebeng

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menafikan dakwaan berlaku kebakaran sebuah kilang di Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini, seperti rakaman video yang tersebar di media sosial.


Kebakaran itu sebaliknya disebabkan oleh pembakaran lebihan gas yang terhasil daripada proses pembakaran arang batu.

Pengarah JBPM negeri, Nor Hisham Mohammad, berkata insiden berkenaan bukan membabitkan kebakaran kilang, Allience Steel (M) Sdn Bhd seperti yang tersebar.


Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bersama empat pegawai penyiasat kebakaran ke lokasi pada jam 11.45 malam tadi sebelum mendapati kejadian itu berlaku di blok relau pembakaran arang batu (Coal Coking Plant).


"Bukan kebakaran kilang seperti yang didakwa. Sebaliknya, kejadian jam 9.40 malam itu tercetus selepas berlaku gangguan bekalan elektrik di dalam kawasan kilang itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, ketika gangguan bekalan elektrik, kipas penyedut (extraction fan) di blok relau pembakaran arang batu itu terhenti, menyebabkan sistem keselamatan relau berfungsi secara automatik dengan melepaskan lebihan gas yang dihasilkan melalui cerobong pelepasan haba bagi mengelakkan lebihan tekanan dalam relau.


"Berikutan suhu yang tinggi di dalam relau, gas ini terbakar apabila dilepaskan di samping mengelak berlaku pencemaran udara. Semua lapan cerobong pelepasan haba berfungsi sebagaimana direkabentuk dan membakar gas yang terhasil.


"Video dan gambar kebakaran yang tersebar adalah imej pembakaran gas terbabit. Kita sudah menyiasat kejadian ini dan memanggil pihak syarikat untuk memberikan penjelasan lanjut," katanya.