Monday 31 January 2011

Petronas disaran bimbing PKS

PETRONAS disaran melipatgandakan usaha untuk membimbing lebih ramai usahawan tempatan seiring dengan hasrat kerajaan menyokong dan memajukan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ketika ini, Petronas sememangnya membantu usahawan PKS membabitkan teknologi dengan menganugerahkan kontrak selain membuka peluang untuk golongan terbabit mengembangkan perniagaan ke luar negara.

“Syarikat PKS Bumiputera dalam bidang teknologi tinggi kini mempunyai kebolehan dan mampu bersaing dalam pasaran terbabit. Bagaimanapun, syarikat terbabit memerlukan modal dan capaian kepada pasaran.

“Saya berharap Petronas membantu kerajaan untuk membangunkan golongan PKS ini. Malah, saya sentiasa membuka pintu untuk mengadakan perbincangan dengan Petronas,” katanya pada majlis pelancaran HUGIN 1000, kenderaan dalam air berautonomi (AUV) di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas pembelian AUV oleh Offshore Works Asia Pacific, Mukhriz berkata, cabaran dihadapi kini ialah untuk memastikan perkhidmatan AUV diperkenal dan digunakan secara agresif, bukan saja di negara ini, malah kawasan serantau.