Tuesday 26 July 2011

Terminal LNG PETRONAS Gas siap ikut jadual

Kemudahan di Sungai Udang beroperasi tahun depan

KEMUDAHAN memproses gas milik PETRONAS Gas Bhd di Sungai Udang, Melaka akan memulakan operasinya mengikut jadual iaitu pada pertengahan tahun depan, sekali gus membolehkan penyaluran bekalan gas tambahan secara lebih konsisten di Semenanjung.
“Ia berjalan mengikut jadual. Kerja memasang cerucuk di Pelabuhan Sungai Udang sudah siap dan kami juga sudah memasang paip dari terminal untuk disambungkan ke rangkaian saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung.
“Kemudahan itu dijangka bersedia menerima penghantaran gas asli cecair (LNG) pertama pada pertengahan tahun depan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif PETRONAS Gas, Samsudin Miskon.

PETRONAS Gas sebelum ini berkata, kemudahan terminal di Sungai Udang itu membabitkan pembinaan kemudahan penggasan semula, unit penyimpanan terapung dan saluran paip dasar laut dengan kapasiti penghantaran gas keluar maksimum 3.8 juta tan setahun.

Penggasan semula adalah proses penyejatan untuk menukar LNG kembali ke dalam bentuk gas yang membolehkan ia diangkut ke terminal pengedaran.

Terminal LNG itu dijangkakan menerima gas daripada projek Gladstone LNG (GLNG) di Queensland, Australia.
Sementara itu, Pengerusi PETRONAS Gas, Datuk Anuar Ahmad, berkata kemudahan di Sungai Udang itu dijangkakan memberi pendapatan tambahan sebanyak 10 peratus setahun kepada PETRONAS Gas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kumpulan itu bercadang mengumpul dana RM1.2 bilion bagi membiayai sebahagian daripada projek Loji Jana Kuasa Kimanis di Sabah.

Dana itu mewakili 80 peratus daripada jumlah kos membina loji gas berkuasa 300 megawatt itu yang bernilai RM1.5 bilion, manakala baki 20 peratus dibiayai dana dalaman.

Anuar yang juga Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Gas dan Tenaga PETRONAS berkata, PETRONAS Gas kini sedang berunding dengan bank tempatan dan asing untuk memuktamadkan pembiayaan projek berkenaan.

Perjanjian pembelian kuasa untuk loji itu pula, katanya, akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Loji kuasa yang akan menjadi pengeluar kuasa bebas terbesar di Sabah itu, dimajukan secara bersama menerusi usaha sama 60:40 antara Petronas Gas dan NRG Consortium (Sabah) Sdn Bhd, anak syarikat Yayasan Sabah.

Dalam perkembangan lain, Samsudin berkata, PETRONAS Gas akan memperuntukkan RM800 juta untuk perbelanjaan modal tahun ini dan antara RM800 juta hingga RM1 bilion tahun depan menggunakan dana dalaman.