Wednesday 2 April 2014

UMS, Timor-Leste Tandatangani MoU Kerjasama Latihan Industri Minyak Dan Gas

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kementerian Sumber Petroleum dan Mineral Timor Leste dan Kementerian Pelajarannya Rabu menandatangani memorandum Persafahaman (MoU) berhubung kerjasama dalam latihan industri berkaitan minyak dan gas.

Melalui MoU itu, UMS akan memberikan latihan kemahiran dalam industri minyak dan gas bagi peserta terpilih dari Timor-Leste. MoU itu membolehkan 30 pelajar Timor-Leste melanjutkan pengajian untuk mendapatkan sijil dan diploma sebagai kumpulan pertama di universiti itu.

UMS diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah manakala Timor-Leste diwakili Menteri Pelajarannya Bendito dos Santos Freitas.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Perdana Menteri Timor Leste Xanana Gusmao menyaksikan majlis menandatangani MoU itu.

Sebelum itu, Gusmao dianugerahkan Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa oleh UMS dalam majlis konvokesyen peringatan di Dewan Canselor universiti itu di sini.

Mohd Harun dalam ucapan tahniahnya, mengalu-alukan kedatangan 38 anggota delegasi dari Timor-Leste ke UMS, dan berharap ia akan memperkukuhkan hubungan antara kedua belah pihak.

Beliau berkata UMS telah memulakan usaha yang bersungguh-sungguh untuk membangunkan tenaga kerja mahir bagi menyokong industri yang sentiasa berkembang di Sabah.

"Melalui Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat UMS, pengajian peringkat sarjana diwujudkan buat pertama kali bagi jurusan kejuruteraan dan akan ditawarkan di Malaysia bagi pengkhususan dalam bidang minyak dan gas menjadi kenyataan dengan pengambilan pertama graduan kerja kursus pada pertengahan 2014.

Kami juga akan melancarkan program ijazah sarjana muda baharu dalam kejuruteraan minyak dan gas, yang dijangka pengambilan kumpulan sulungnya pada September 2014," katanya.

Beliau berkata fakulti itu telah memperkenalkan 10 program diploma kejuruteraan dalam bidang kejuruteraan proses, instrumentasi, mekanikal, elektrikal dan utiliti dengan lima program akan ditawarkan di peringkat diploma eksekutif dan lima program pada peringkat diploma biasa.

"Fakulti itu terus berusaha menawarkan lebih banyak program untuk disesuaikan dengan industri minyak dan gas terutamanya untuk menyokong permintaan tenaga kerja mahir dalam industri ini yang menawarkan kira-kira 16,000 pekerjaan setiap tahun di seluruh Malaysia," kata Mohd Harun.

Beliau berkata penubuhan fakulti kejuruteraan menjadi pendorong utama UMS bagi mengadakan lawatan bersejarah ke Timor-Leste, Februari lalu dan bertemu dengan pegawai kanan negara itu bagi menawarkan bantuannya membangunkan sumber manusia negara itu yang baru ditubuhkan.

Mohd Harun berkata dengan kursus-kursus yang ditawarkan daripada diploma sehingga peringkat lepasan ijazah, UMS akan dapat menyediakan latihan kemahiran yang lengkap dan konprehensif yang diperlukan Kementerian Sumber Petroleum dan Mineral Timor-Leste.

Hari ini, Gusmao melancarkan pusat perhubungan UMS-Timor Leste, bertempat di galeri penyelidikan bangunan Canselor UMS. Pusat itu akan menyelaras dan mengukuhkan hubungan dengan republik itu.

Sebelah pagi, Gusmao menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di Sutera Harbour sebelum majlis yang berlangsung di universiti itu.