Sunday 27 April 2014

Perolehan Petronas Chemical RM15.202b

Petronas Chemical Group Berhad (PCG) mencatatkan perolehan sebanyak RM15.202 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, susut lapan peratus berbanding RM16.599 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai syarikat turut menyusut sedikit kepada RM4.547 bilion berbanding RM4.550 bilion pada 2012. Sementara keuntungan selepas cukai pula ialah RM3.504 bilion susut sembilan peratus berbanding RM3.837 bilion pada 2012.

Syarikat turut mencatatkan penurunan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) iaitu sebanyak RM5.076 bilion berbanding RM5.778 bilion tahun sebelumnya. Bagaimanapun, jumlah aset syarikat sehingga akhir tahun lalu meningkat kepada RM27.731 bilion daripada RM25.920 bilion pada 2012.

Pengerusi PCG, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, 2013 merupakan tahun yang mencabar kepada Kumpulan mengambil kira pelbagai aktiviti yang telah dijalankan oleh syarikat termasuk kerja-kerja penyelenggaraan loji-loji di Kerteh, Terengganu.

"Sebanyak 60 peratus daripada perolehan syarikat disumbang oleh pasaran luar negara khususnya Asia, sementara bakinya adalah pasaran domestik," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-16 syarikat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical, Datuk Dr. Abd. Hapiz Abdullah.

Mengulas lanjut, Wan Zulkiflee berkata, kerja-kerja penyelenggaraan loji-loji masih diteruskan pada tahun ini dengan sasaran penggunaannya pada kadar 80 peratus berbanding sekitar 78 peratus tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, PCG masih dalam perbincangan berhubung pembabitannya dalam projek Loji Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang, Johor.