Wednesday 30 April 2014

Tekanan kos dorong penggabungan industri minyak & gas

Kerisauan oleh syarikat-syarikat perkhidmatan sokongan sektor minyak dan gas (O&G) terhadap peningkatan kos operasi dan tenaga buruh, dilihat mampu membuatkan mereka mengambil langkah untuk melakukan pengambilalihan dan penggabungan (M&A) bagi terus kekal di dalam sektor itu.

Beberapa syarikat perkhidmatan itu ketika ini telah menyuarakan masalah mereka berhubung kekurangan tenaga kerja, sekali gus menyebabkan gaji yang terpaksa dibayar untuk mengekalkan tenaga kerja meningkat, khususnya tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Syarikat-syarikat itu kini beranggapan gaya industri ketika ini lebih terarah kepada ‘membeli’ berbanding ‘mencipta’ tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi keperluan masing-masing, jelas nota kajian MIDF Research di sini baru-baru ini.

"Menurut kajian industri yang dilaksanakan pada 2013, 68 peratus syarikat tersebut membeli tenaga kerja yang diperlukan daripada syarikat lain. Disebabkan hal itu, kami percaya ini menjadi faktor yang kukuh untuk melihat lebih banyak M&A akan berlaku di dalam sektor O&G," menurut nota kajian tersebut.

Kajian oleh Deloitte Consulting pula menjangkakan aktiviti-aktiviti M&A yang akan berlaku tahun ini akan mencatatkan transaksi kira-kira RM8 bilion.

Sebelum ini, Petroliam Nasional Bhd. menyatakan telah berlakunya lebihan penyedia kapal sokongan luar pesisir (OSV) di Semenanjung Malaysia, memandangkan kadar penyertaan penyedia-penyedia tempatan di dalam industri semakin bertambah.

Perkembangan itu menyaksikan kemerosotan caj penggunaan OSV sebanyak 15 peratus berbanding harga pasaran ekoran persaingan yang berlaku.

Bagaimanapun jelas MIDF Research, faktor-faktor keserasian perkhidmatan turut menjadi pendorong kepada M&A berbanding tekanan kos semata-mata.

Syarikat penyelidikan itu mengambil contoh penggabungan antara SapuraCrest Petroleum dan Kencana Petroleum yang bernilai RM12 bilion. SapuraCrest Petroleum mempunyai kepakaran dalam aspek pemasangan manakala Kencana Petroleum mempunyai kepakaran dalam aspek fabrikasi dan kejuruteraan.

Ini memandangkan beberapa syarikat penyedia perkhidmatan dimiliki atau mempunyai kepentingan saham oleh konglemerat tempatan atau syarikat milik kerajaan (GLC). Contohnya, Lembaga Tabung Haji yang mempunyai beberapa kepentingan di dalam syarikat penyedia seperti TH Heavy Engineering (THHE) dan Alam Maritim Resources.

Hal itu berkait rapat dengan usaha kerajaan bersama Petronas untuk menjadikan syarikat penyedia perkhidmatan O&G tempatan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa termasuk melalui kaedah M&A.