Saturday 28 June 2008

Telaga minyak lama Terengganu akan digali semula

KEMAMAN 28 Jun — Telaga minyak lama di perairan Terengganu yang telah ditutup akan digali semula dalam usaha menangani masalah kekurangan bahan itu sekaligus mengambil peluang daripada harga minyak mentah dunia yang terus melonjak.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengurusan tertinggi Exxon Mobil yang baru memperbaharui kontrak pengeluaran bersama (PSC) dengan Petronas.

Syarikat berkenaan akan melabur sebanyak AS$2.3 bilion (RM7.5 bilion) untuk pengeluaran bahan mentah itu bagi tempoh 25 tahun akan datang.

Ahmad berkata beliau juga diberitahu bahawa dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini tiada telaga minyak baru ditemui di perairan Terengganu dan setakat ini syarikat berkenaan hanya berjaya menemui dua telaga baru iaitu di Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun mereka tetap berminat untuk meneruskan pelaburan dan akan membuka kembali telaga minyak lama yang telah ditutup sebelum ini untuk cari gali lebih mendalam bagi tujuan mendapatkan hasil.

“Walaupun hasilnya mungkin tidak banyak tetapi mereka merasakan ia berbaloi dengan harga minyak yang melonjak sekarang,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek rumah mampu milik di Kampung Paya Lasir, Kijal di sini hari ini.

Sebanyak 311 buah rumah teres satu tingkat mampu milik akan dibina di tanah seluas 14 hektar dalam tempoh 18 bulan menggunakan teknologi Industrial Build System (IBS) di bawah kendalian syarikat Aqua Flora Sdn Bhd.

Ditanya jumlah telaga minyak yang akan digali semula, Ahmad berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan berhubung dengan kerajaan pusat untuk mengetahui jumlah baki wang royalti minyak Terengganu yang kini berada dalam simpanan kerajaan pusat.

“...ada yang kata masih tinggal RM1 bilion, ada yang kata dah habis langsung, jadi kita pun nak tahu. Kalau masih ada baki, kita bercadang menyimpan sebanyak RM1 bilion daripada wang yang akan dikembalikan oleh kerajaan Persekutuan itu ke dalam simpanan tetap untuk tempoh 20 tahun bagi kegunaan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap akan mendapat jumlah royalti yang besar apabila pembayaran dibuat September ini.

Source : Bernama