Perbelanjaan bagi carigali dan pengeluaran minyak di Malaysia dijangka mencecah RM45 bilion dengan kadar pertumbuhan sebanyak 16.6 peratus pada tahun 2012.
Segmen pertumbuhan itu merangkumi projek-projek laut dalam, meluaskan penemuan minyak (EOR) dan lapangan marginal.
Menurut Pengarah Tenaga dan Sistem Kuasa Frost & Sullivan, Subramanya Bettadapura, pembekal pasaran minyak dan gas (O&G) yang bakal menerima manfaat pada 2012 adalah firma kejuruteraan, penyedia perkhidmatan penggerudian, kapal sokongan luar pesisir dan sebagainya.
‘‘Petronas telah memperoleh kejayaan hasil program eksplorasi mereka pada tahun ini dengan penemuan O&G di Sabah dan Sarawak.
‘‘Mereka kekal komited dengan strategi memberi tumpuan kepada usaha eksplorasi di perairan domestik dan telah menyediakan belanjawan sebanyak RM300 bilion untuk lima tahun akan datang sebagai modal perbelanjaan bagi mengekalkan paras pengeluaran dan beberapa pertumbuhan di sepanjang nilai rantaian integrasi bagi sektor tersebut
Bettadapura dalam kenyataannnya di sini berkata, usaha eksplorasi akan diteruskan terutama di kawasan blok perairan cetek dan dalam pada 2012.
‘‘Petronas dan rakan kongsinya dijangka akan menggerudi 20 telaga eksplorasi semasa 2012 dan projek laut dalam Malaysia kedua Gumusut/Kakap akan bermula pada awal 2012.
‘‘Manakala projek Malikai bakal bermula pada 2014 serta dua lagi projek laut dalam Jangas dan Kebabangan juga bakal bermula pada tahun tersebut,’’ jelasnya.
Selain itu, Petronas dengan kerjasama ExxonMobil serta Shell telah mengambil pendekatan agresif untuk memulihkan semula (rejuvenate) lapangan matang.
‘‘Petronas dan Shell Malaysia akan membelanjakan RM36 bilion ke atas untuk projek-projek EOR dan pembangunan lapangan baharu untuk mengekalkan pengeluaran.
‘‘Perbelanjaan di bawah program ini pada tahun hadapan dijangka sekitar RM3 bilion,’’ katanya.
Projek luar pesisir Sabah dan Sarawak akan menyediakan peluang kepada penyedia perkhidmatan domestik untuk membina kemampuan teknikal bagi segmen tersebut.
Sementara itu perbelanjaan ExxonMobil untuk 2012 hingga 2013 bagi program pemulihan dijangka sekitar RM2 bilion dengan kos jangkaan sebanyak RM3 bilion.
Pembangunan lapangan marginal bakal menyaksikan pelaburan berterusan pada 2012 dengan fokus mengekalkan pengeluaran minyak.
Projek North Malay Basin merupakan sebahagian inisiatif pembangunan untuk meneroka dua lapangan marginal dan sembilan lapangan dengan kandungan karbon (C02) yang tinggi dijangka bernilai RM15 bilion.
Penilaian kesesuaian untuk pusat penapisan dan penyimpanan (Projek Rapid) di Johor sedang dilalukan.
Terminal penerima dan gas semula cecair (re-gasification) gas asli cecair (LNG) akan dijadikan sebagai sebahagian daripada projek Rapid.
Keputusan pelaburan akhir untuk projek itu akan dibuat pertengahan 2012 dengan anggaran nilai sebanyak RM60 bilion.