Wednesday 16 May 2012

'Projek reject' didakwa dibawa ke Pengerang


Projek pelaburan petrokimia kontroversi yang dibatalkan di Taiwan kini ditetapkan untuk dipindahkan ke Pengerang, Johor, lapor media Taiwan.

Menurut Taipei Times, Menteri Hal Ehwal Ekononomi Shih Yen-shiang mengesahkan perkara itu kepada pemberita semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan syarikat petrokimia Taiwan akan melabur sehingga RM36 billion untuk projek pembangunan bersepadu penapisan minyak dan petrokimia di Pengerang.

Pelaburannya dilaporkan akan mencecah RM120 bilion untuk tempoh lima hingga enam tahun seterusnya.

Walaupun Najib dan pihak berkuasa tempatan tidak mendedahkan identiti syarikat Taiwan itu, Shih memberitahu mesyuarat jawatankuasa perundangan bahawa syarikat terbabit Kuokuang Petrochemical Technology Co.

Sebahagian besar pegangan Kuokuang dimiliki syarikat milik negara CPC Corp.

Pegawai perhubungan media CPC memberitahu Taipei Times bahawa Kuokuang akan membina kilang penapis, pemecah nafta (naphtha cracker) dan loji lain di tapak itu.