Wednesday 29 August 2012

Matrade, Halliburton Bekerjasama Dalam Inisiatif Penyumberan Global Bagi Industri Minyak & Gas


KUALA LUMPUR, - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bekerjasama dengan Halliburton untuk menyediakan platform bagi syarikat Malaysia mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada perniagaan bertaraf dunia.

Halliburton merupakan satu daripada penyedia produk dan perkhidmatan terbesar dunia kepada industri tenaga.

Matrade akan menganjurkan satu program mengenai peluang perniagaan dalam industri minyak dan gas dengan Halliburton Malaysia pada 6 Sept di Matrade Hall di Menara Matrade, Kuala Lumpur.

Objektif program tersebut adalah untuk mewujudkan kesedaran kepada syarikat Malaysia mengenai rantaian bekalan dan keperluan penyumberan Halliburton, menyediakan maklumat mengenai peluang perniagaan yang tersedia di Halliburton dan mewujudkan penanda aras bagi produk dan perkhidmatan minyak dan gas Malaysia, kata Matrade dalam satu kenyataan.

Antara topik yang dibentangkan ialah Pengenalan mengenai Halliburton Malaysia, Rantaian Bekalan dan Keperluan Penyumberan Halliburton, kata perbadanan itu.

-- BERNAMA