Friday 29 August 2014

Greenpeace: Lynas tak penuhi syarat

Greenpeace hari ini mengeluarkan satu laporan yang menyatakan bahawa kilang nadir bumi, Lynas Corp tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu, NGO tersebut menggesa supaya pihak kerajaan tidak memberikan Lesen Peringkat Operasi Penuh (FOSL) kepada syarikat perlombongan dari Australia itu.

Laporan setebal 86 muka surat yang bertajuk 'A Radioactive Ruse' itu menekankan beberapa kebimbangan yang berkaitan dengan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).

Malah, laporan itu juga menyatakan kebimbangan terhadap ancaman alam sekitar daripada kilang itu yang didakwa boleh memberi kesan kepada tumbuhan.

Ini kerana, perancangan syarikat itu untuk menangani sisa radioaktif dalam tempoh 20 tahun pengeluaran meragukan.

Justeru, Pengarah Eksekutif Greenpeace Asia Tenggara, Von Hernandez berkata, beliau menegaskan bahawa Lynas kini telah gagal untuk memenuhi syarat-syarat Lesen Operasi Sementara (TOL) yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Tambahnya, Kemudahan Pelupusan Tetap (PDF) yang perlu disediakan oleh syarikat itu bagi sisa radioaktif masih kekal sebagai misteri dan perkara itu juga tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Sejauh mana yang kami tahu, syarikat itu belum lagi mempunyai penyelesaian yang selamat dan boleh diterima untuk bahan buangan radioaktif mereka. Dan perkara ini sudah tentu merupakan satu masalah bagi orang awam yang prihatin," kata Hernandez pada sidang media hari ini.