Wednesday, 20 May 2015

Sektor minyak dan gas tambah 52,300 pekerjaan menjelang 2020

Sektor minyak dan gas dijangka menambah 52,300 pekerjaan, kebanyakannya untuk pekerja berkemahiran tinggi, menjelang 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, kerajaan sedang membangunkan modal insan yang besar dalam sektor itu dengan mengeluarkan lebih daripada 16,000 profesional teknikal berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi.

Bilangan pekerja berkemahiran dalam sektor juga dijangka berkembang apabila Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang di Johor memasuki aliran dalam masa terdekat, katanya pada pelancaran Asia Centre for Reliability and Efficiency (ACRE) Schlumberger, di Zon Bebas Pelabuhan Klang hari ini.

Beliau berkata Petronas membuat pelaburan langsung yang signifikan dalam industri hiliran minyak dan gas di dalam negara dan sektor pengeluaran seberang laut.
"Ini menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah daripada hanya RM264 sebulan pada 1970 kepada RM5,919 pada 2014.

"Dalam tempoh ini, pendapatan isi rumah median meningkat daripada RM166 (pada 1970) kepada RM4,528 pada 2014," katanya.

Abdul Wahid berkata, ekonomi Malaysia tumbuh 5.6 peratus bagi suku pertama 2015 dan di landasan untuk mencatat pertumbuhan purata antara 4.5% dan 5.5% tahun ini.

"Kami juga komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 3.5% pada 2014 kepada 3.2% daripada keluaran dalam negara kasar tahun ini," katanya. – Bernama, 19 Mei, 2015.