Sunday 10 March 2019

Penolong Pengarah DOSH Johor didenda RM50,000 terima rasuah project RAPID

Seorang Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menerima rasuah RM30,000 pada 2017.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu ke atas Ismail Busrah, 39, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa menerima wang tunai RM30,000 dengan tiada balasan daripada pengurus sebuah syarikat petroleum, Norazman Abdul Latif, yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasmi tertuduh sebagai Pegawai Penyelia Projek 'Engineering Procurement Construction Commissioning of Field Ereted Tanks' di RAPID, Pengerang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di lampu isyarat menghala ke Jalan Lingkaran Dalam, di sini, antara jam 2.15 petang hingga 2.30 petang 31 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuan meringankan hukuman memberitahu mahkamah bahawa dirinya adalah pekerja cemerlang.

"Saya penjawat awam yang cemerlang dan pernah mendapat anugerah cemerlang sebanyak dua kali," katanya.