Monday, 21 July 2008

Octagon ceburi sektor tenaga hijau

Octagon Consolidated Bhd. (Octagon) yang dulunya hanya dikenali sebagai syarikat cat tetapi kini aktif mengembangkan perniagaannya dalam bidang baru iaitu sektor tenaga hijau.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazlan Ali berkata, berdasarkan kepada perkembangan memberangsangkan itu, syarikat optimis untuk menjadikan sektor tenaga hijau yang baru diceburi sejak empat tahun lalu sebagai perniagaan terasnya bagi menggantikan sektor saduran perindustrian dan cat.

Octagon menceburi bidang saduran perindustrian dan cat sejak 25 tahun lalu adalah peneraju dalam bidang berkenaan ekoran kejayaannya membekalkan produk kepada pelbagai syarikat multinasional dalam industri elektrik dan elektronik.

Menurut Mazlan, sektor tenaga hijau yang membabitkan operasi menjana tenaga bersih dari sumber tenaga yang diperbaharui itu kini menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan kumpulan manakala bakinya daripada saduran perindustrian dan cat.

''Sektor ini dijangka menjadi perniagaan teras kumpulan menjelang empat tahun akan datang tetapi ini bukan bermakna kami akan meninggalkan perniagaan saduran perindustrian dan cat.

''Sektor perniagaan tersebut tumbuh secara organik tetapi sektor tenaga hijau ini naik begitu mendadak sekali malah permintaan terhadapnya semakin menggalakkan kini,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Mazlan menjelaskan, Octagon yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada tahun 2002 telah melabur sebanyak RM160 juta untuk sektor tenaga hijau sejak empat tahun yang lalu.

Bagi tempoh berkenaan, pelaburan tersebut dibuat untuk operasi di dalam dan luar negara.

''Kini kami sedang berbincang dengan dua pihak di luar negara untuk melaksanakan projek tenaga hijau dan 10 buah syarikat asing telah berminat terhadap projek tersebut.

''Bagaimanapun, kami akan umumkan secara terperinci dalam tempoh dua bulan akan datang selepas ia dimuktamadkan,'' jelasnya.

Mengenai perkembangan di Malaysia pula, Mazlan berkata, Octagon dijangka melancarkan loji kitar semula tayar terpakai berteknologi tinggi di Pulau Indah, Pelabuhan Klang yang bernilai RM120 juta dalam tempoh sebulan.

Loji yang menggunakan teknologi pirolisis aliran terus itu adalah loji aliran terus pertama di dunia yang mempunyai kapasiti 120 tan atau 12,000 biji tayar terpakai sehari.

Menurutnya, loji berkenaan akan menghasilkan minyak dan gas yang mampu menjana tenaga elektrik.

Mengulas lanjut, minyak yang dihasilkan daripada loji berkenaan akan digunakan untuk kegunaan industri seperti dandang, termasuk kapal korek, manakala baki 10 peratus daripadanya adalah gas yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik.

Menurutnya, melalui bahan mentah sebanyak 120 tan tayar terpakai yang diproses di loji tersebut, tenaga elektrik yang dihasilkan secara maksimum adalah dua kilowatt tetapi buat masa ini ia hanya menjana satu kilowatt untuk kegunaan sendiri.

Pelaburan''Kami bercadang untuk mengembangkan lagi projek loji tersebut kepada fasa kedua yang memungkinkan membabitkan pelaburan kira-kira RM120 juta di tempat yang sama pada tahun depan.

''Kapasiti loji itu boleh mencapai sehingga 240 tan tayar terpakai sehari yang mana jumlah tersebut bersamaan dengan 50 peratus daripada tayar terpakai di negara ini yang diperolehi daripada 12.6 juta kenderaan di Malaysia,'' jelasnya.

Menurut Mazlan, berdasarkan kepada perkembangan memberangsangkan itu, Octagon yakin ia akan menyumbang dengan ketara kepada pendapatan syarikat bermula tahun kewangan 2009.

''Malah kami mampu mengeksport kemahiran kami dalam bidang ini kerana syarikat sudah ada loji yang akan beroperasi tidak lama lagi maka model perniagaan itu dapat dibawa ke peringkat antarabangsa dengan mudah dan cekap,'' ujarnya.

Mengenai bidang saduran perindustrian dan cat pula, beliau berkata, Octagon akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang tersebut pada masa kini dan akan datang di pasaran domestik dan rantau Asia Tenggara.

Source : Utusan Malaysia