Monday 21 July 2008

Ramunia Mahu Jadi Pusat Bagi Fabrikasi Laut Dalam Serantau

Ramunia Holdings Bhd berhasrat menjadi pusat fabrikasi laut dalam serantau.

Pengurus kanan operasinya, Khadrishah Khalid, berkata syarikat itu yakin dapat mencapai visi ini berikutan langkah menaik taraf limbungan dan kemudahannya di Teluk Ramunia, Johor.

"Langkah naik taraf ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk meningkatkan kecekapan dan menggunakan kemudahan dengan lebih baik bagi memastikan ia boleh melaksanakan sebarang tugasan laut dalam pada masa akan datang," katanya kepada Bernama semasa lawatan media ke limbungan itu.

Beliau berkata sejak suku ketiga 2006, Ramunia membelanjakan 80 peratus daripada RM200 juta perbelanjaan modalnya bagi menaikkan taraf limbungan itu.

Khadrishah berkata projek dalam tangan syarikat itu kini bernilai RM500 juta dan jumlah itu akan meningkat dengan siapnya kerja-kerja menaik taraf limbungan itu bulan depan.

Beliau berkata syarikat itu akan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, penugasan, pemasangan dan pembinaan (EPCIC).

"Kami tidak akan menceburi perniagaan lain kerana kerja-kerja EPICIC menawarkan margin terbesar bagi syarikat itu," katanya.

Tentang penggabungan dengan MISC Bhd, Khadrishah berkata cadangan itu dikemukakan kepada Bursa Malaysia lewat Jun dan kelulusan dijangka diperoleh tidak lama lagi.

Ramunia pada asasnya terlibat dalam perniagaan pembuatan bagi struktur, pembinaan dan penugasan bagi syarikat besar minyak dan gas.


Source : Bernama