Tuesday 19 October 2010

Petronas Chemicals sasar raih RM12.5b

ETRONAS Chemicals Bhd dijangka mampu meraih sehingga RM12.5 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya, lebih tinggi berbanding anggaran awal RM6.25 bilion bersandarkan kepada kukuh terhadap saham syarikat Asia oleh pelabur antarabangsa.

Pasaran modal Asia kini menyaksikan pelaksanaan urus niaga berbilion dolar, didorong kedudukan kecairan yang tinggi, kadar faedah rendah dan pertumbuhan kukuh ekonomi.

IPO Petronas Chemicals, yang dimiliki PETRONAS bakal menjadi tawaran jualan saham terbesar di Malaysia, mengatasi penyenaraian Maxis bernilai AS$3.3 bilion (RM10.3 bilion) tahun lalu.

Ia dibuat selepas IPO anak syarikat logistik milik kerajaan Singapura bernilai AS$3 bilion (RM9.4 bilion) dan serentak cadangan penyenaraian cabang perniagaan insurans hayat American International Group di Asia bernilai lebih AS$15 bilion (RM46.9 bilion).

“Ini adalah satu kejutan besar dan ia muncul ketika terdapat peningkatan minat terhadap saham minyak dan gas,” kata Ketua Eksekutif Acera Capital, Danny Wong yang menguruskan dana berjumlah RM400 juta di Singapura, semalam.

“Walaupun kehadiran pelabur asing di Malaysia tidak besar, namun IPO itu boleh mencetuskan lebih banyak minat.

“Malah, saya menjangka banyak pelabur institusi akan melanggan saham anak syarikat PETRONAS itu,” katanya. - Berita Harian