PERSETUJUAN ExxonMobil untuk menyerahkan syarikat itu kepada San Miguel Corporation (SMC) terus dikecam oleh banyak pihak yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan transaksi itu meskipun keputusan tersebut telah dibuat seminggu lalu.
Ia kerana terlampau banyak persoalan dan pertikaian yang boleh dibangkitkan daripada keputusan penjualan kepentingan ExxonMobil kepada SMC.
ExxonMobil perlu menjawab persoalan mengapa memilih SMC sedangkan harga yang ditawarkan begitu murah jika benar Boustead Holdings Bhd. membuat tawaran keseluruhan sebanyak RM1 bilion.
Di manakah rasionalnya keputusan ExxonMobil itu sekiranya hak pemegang saham minoriti dinafikan?.
Malah, selaku agensi yang terlibat dalam pelaburan langsung asing, mengapakah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) meluluskan urus niaga tersebut?
Mengapakah syarikat luar didahulukan sedangkan sektor minyak dan gas adalah keutamaan Malaysia?
Sejak isu jual beli ini disiarkan, nampaknya tiada satu pihak pun, baik ExxonMobil mahupun MITI tampil untuk membuat kenyataan, sekali gus menyebabkan isu ini menjadi polemik di kalangan ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri.
Justeru, banyak pihak mengesyorkan supaya kerajaan segera campur tangan dalam urus niaga itu kerana tindakan sedemikian adalah dibolehkan.
Biarpun urus niaga itu dilakukan ketika ExxonMobil dan SMC dalam keadaan bersedia untuk menjual dan membeli namun tidak menjadi kesalahan sekiranya campur tangan itu dilaksanakan demi kepentingan hak pemegang saham minoriti dan melindungi kepentingan nasional.
Seorang penganalisis ekonomi yang enggan namanya disebut berkata, tidak menjadi kesalahan untuk kerajaan campur tangan apabila urus niaga itu mengenepikan kepentingan nasional.
''ExxonMobil memang sebuah syarikat asing tetapi kita jangan lupa operasinya di Malaysia menggunakan aset-aset dan kemudahan strategik negara.
''Terlalu banyak persoalan yang boleh menyebabkan ketelusan dalam proses jual beli ini dipertikaikan.
''Penjualan kepada SMC seolah-olah berlaku sabotaj dalam ekonomi dan situasi urus niaga cenderung kepada keadaan mencurigakan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Malah, beliau turut mempersoalkan adakah MITI dan SC melihat urus niaga tersebut dalam perspektif nasional sebelum membuat sebarang kelulusan.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam (M) Bhd., Azrul Azwa Ahmad Tajuddin juga bersetuju sekiranya kerajaan menarik balik kelulusan yang telah diberikan kepada SMC.
Tegas beliau, penarikan itu wajar dilakukan kerana harga yang ditawarkan begitu rendah sebanyak 29 peratus daripada harga pasaran.
Justeru, beliau berkata, sewajarnya Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Bhd. (MSWG) segera meneliti dan membuat kajian terperinci.
Seorang pemerhati ekonomi berkata, kerajaan boleh campur tangan sekiranya ia mahu, apatah lagi isu ini semakin hangat diperkatakan.
''Urus niaga ini belum selesai, masih banyak cara untuk menariknya balik,'' katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan sekiranya campur tangan itu berlaku, ia akan menimbulkan perkara lain termasuk isu pampasan.
Mendengar hujah-hujah yang dilemparkan, isu penjualan Exxonmobil kepada SMC akan terus menjadi hangat kerana terlalu banyak pertikaian yang perlu dijawab.
Sektor minyak dan gas adalah nadi dan tonggak kepada ekonomi Malaysia.
Lebih utama, sanggupkah kakitangan Exxonmobil yang sedia ada bekerja di bawah syarikat minuman keras?
Sama ada kerajaan mahu atau tidak campur tangan dalam isu ini, itu adalah pilihannya tetapi seperti kata banyak pihak tidak ada salahnya untuk berbuat demikian atas alasan mendahulukan kepentingan nasional, melindungi hak pemegang saham minoriti yang terdiri di kalangan rakyat Malaysia dan kelangsungan kakitangan Exxonmobil.