Friday 11 November 2011

Petronas sah kunjungan SPRM, ‘teliti’ aduan salah laku

Petronas mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada mengunjungi pejabatnya baru-baru ini tetapi menafikan ia telah melakukan serbuan ataupun mengambil sebarang fail dari premisnya.

Syarikat minyak nasional berkata kunjungan SPRM itu sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) apabila ada aduan.

“Ekoran laporan bahawa SPRM telah menyerbu Petronas, kami ingin menjelaskan bahawa tiada serbuan dan tiada fail atau dokumen diambil oleh agensi itu sebagaimana didakwa,” kata Petronas dalam kenyataan kepada media malam ini.

Katanya, pegawai-pegawai SPRM telah berada di ibu pejabat Petronas untuk membantu dalam prosedur laporan maklumat pertama, yang merupakan sebahagian daripada SOP agensi itu ekoran apa jua aduan mengenai salah laku.