Thursday 21 February 2013

Untung Pracukai MHB Susut Kepada RM218 Juta


Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah, sebanyak RM218 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Dis, 2012, berbanding RM364 juta yang direkodkan pada tahun 2011.

Syarikat itu bagaimanapun merekod perolehan sebanyak RM3,330 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Dis, 2012, meningkat berbanding RM3,060 juta yang dicatat pada tempoh yang sama pada 2011.

Dalam satu kenyataan, MHB berkata segmen perniagaan luar pesisir berjaya melaksanakan peningkatan projek sistem pengeluaran pengapungan GumusutKakap, sistem yang pertama kali diperkenalkan di rantau ini dan kedua di Asia Pasifik, merupakan kejayaan besar projek dalam tempoh kajian ini.

MHB berkata segmen perniagaan marin mencatat keputusan yang lebih baik dalam tempoh itu menerusi sumbangan projek Unit Penyimpanan Terapung (FSU) Lekas dan juga selepas berjaya melaksanakan lebih banyak projek baik pulih kapan gas asli cecair (LNG), memandangkan kumpulan itu memberi tumpuan terhadap kapal berkaitan tenaga.

Penggunaan kemudahan segmen perniagaan marin seperti dermaga kering juga meningkat.

"MHB mengekalkan keuntungan bersih RM242 juta. Pendapatan sesaham yang boleh diagihkan kepada pemegang saham MHB ialah 15.1 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012.

"Menerusi pelaburan berterusan dalam program mengoptimumkan dermaga dan pengambilalihan East Yard Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE), harta, kilang dan peralatan syarikat telah meningkat 32 peratus kepada RM1.4 bilion.

"Jumlah ekuiti telah meningkat kepada RM2.5 bilion dan dividen akhir sesaham 10.0 sen sesaham dicadangkan dibayar kepada pemegang saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012," katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Dominique de Soras, berkata MHB sudah melalui transformasi selama setahun.

Beliau berkata kumpulan itu mengambil alih, menyepadukan MMHE East Yard, dan melancarkan inisiatif peningkatan perniagaan.

"Bagi 2013, kami akan terus memberi tumpuan ke arah menyiap dan menyediakan projek sedia ada kepada pelanggan kami.

"Ia merupakan satu lagi kejayaan tahun ini apabila MHB memulakan platform pengapungan ketiga untuk medan air dalam di Malaysia, projek TLP Malikai Deepwater, selepas menerima Surat Anugerah daripada pelanggan kami.

"MHB Group terlibat dalam pembinaan penyelesaian pengapungan laut dalam di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA