Saturday 21 June 2014

Pekerja kontraktor maut gas bocor

KEMAMAN - Seorang pekerja lelaki kontraktor Petronas yang sedang membaik pulih paip gas di Loji Pemprosesan Gas 4 (GPP4) di Kerteh dekat sini maut apabila berlaku kebocoran gas di loji berkenaan malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 11.15 malam itu, mangsa, Muhammad Firdaus Hassan, 26, dari Dungun dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pembaikan paip gas di situ sebelum berlaku kebocoran gas yang mengenai mangsa dan tiga rakannya yang turut berada di situ.

Tiga rakan mangsa itu turut mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Che Suza Che Hitam berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada muka dan leher.

"Mangsa dibawa keluar dari loji berkenaan pada pukul 2.30 pagi selepas melepasi beberapa kawalan keselamatan pihak Petronas dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat," katanya. - Kosmo