Saturday 21 June 2014

Labuan Shipyard & Engineering ke Bursa Malaysia

Radimax Group Sdn Bhd bercadang untuk menyenaraikan perniagaan perkhidmatan kejuruteraan dan perkapalannya, Labuan Shipyard & Engineering Sdn Bhd (LSE) di Bursa Malaysia menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

Langkah itu akan membolehkan LSE meraih modal bagi mengembang dan memperkukuhkan lagi kehadirannya dalam sektor perkhidmatan kejuruteraan dan fabrikasi minyak dan gas, pembinaan dan pembaikan kapal di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Rahim Zin, berkata LSE kini sedang giat memantapkan lagi pendapatannya bagi membolehkan cabang perniagaan perkhidmatan kejuruteraan dan perkapalan kumpulan itu bersedia untuk disenaraikan di pasaran saham.

Justeru, LSE sudah mempelbagaikan perkhidmatannya dengan terbaharu meneroka bidang pembangunan bot aluminium dan mengecat kapal tangki yang mempunyai permintaan yang kukuh.


Cabang perniagaan baharu

Beliau berkata, LSE melihat dua cabang perniagaan baharu itu mempunyai peluang pertumbuhan yang kukuh kerana tidak banyak syarikat di negara ini menawarkan perkhidmatan itu kerana ia memerlukan kepakaran yang tinggi.
“Perniagaan mengecat kapal tangki di rantau ini dikuasai Singapura kerana mereka mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang itu. Kami melihat cabang perniagaan ini mampu menyumbang pertumbuhan pendapatan yang kukuh pada masa depan,” katanya kepada BH ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, LSE mengunjurkan pendapatannya akan meningkat 12 peratus tahun ini hasil sumbangan penerokaannya dalam bidang pembinaan bot aluminium dan mengecat kapal tangki itu.

Abdul Rahim berkata, Radimax Group juga meninjau untuk mengadakan usaha sama atau melaksanakan pengambilalihan dan penggabungan (M&A) dengan syarikat yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam sistem elektrik, elektronik dan mekanikal.

Beliau berkata, dengan menjalin usaha sama atau mengambil alih syarikat yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang berkaitan akan melengkapkan portfolio perniagaan sedia ada LSE, sekali gus ia akan mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran tempatan.

Unjur pendapatan naik 20 peratus

Abdul Rahim menjelaskan, dengan kepelbagaian portfolio perniagaan, ia juga dapat membantu LSE meningkatkan pendapatannya pada masa depan.

Beliau berkata, LSE mengunjurkan pendapatannya akan meningkat 10 hingga 20 peratus pada masa depan susulan jalinan usaha sama atau M&A yang dilaksanakannya nanti.

“Kami optimis dengan prestasi masa depan LSE susulan prospek industri minyak dan gas yang cerah. Kedudukan LSE yang strategik iaitu terletak berhampiran dengan pusat pengeluaran minyak dan gas tempatan juga menarik perhatian peserta industri minyak dan gas untuk menggunakan perkhidmatannya,” katanya.

Limbungan kapal LSE adalah antara yang terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai kemampuan mengendalikan kapal dengan berat muatan sehingga 16,000 tan serta mempunyai keupayaan untuk pengembangan selanjutnya dengan mengambil kapal dengan berat muatan lebih 20,000 tan.

Terletak di kawasan seluas 30 hektar di Pulau Labuan, limbungan kapal miliknya mempunyai akses kepada laut dalam, terlindung daripada monsun dan berstatus pelabuhan bebas cukai.