Tuesday 11 March 2014

Petronas, CPC tandatangani kontrak

Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi anak syarikatnya, Malaysia LNG Sdn. Bhd. (MNLG) dan Petronas LNG Ltd. (PLL) telah menandatangani dua kontrak bagi membekalkan 2.6 juta tan gas asli cecair (LNG) setahun kepada CPC Corp. Taiwan (CPC).

Petronas dalam kenyataan berkata, kontrak tersebut bagi tempoh enam tahun dan penghantaran dijangka bermula dari suku kedua tahun ini dan 2015.


"Volum tersebut akan dihantar dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak dan sumber bekalan lain adalah untuk memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan CPC di Taiwan terutama sektor tenaga negara.

"Kontrak baharu ini juga dijangka dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua syarikat," katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Kontrak ditandatangani di sini semalam, dengan MNLG diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Kasah, PLL diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Azmi Ahmad manakala CPC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas Asli, Chen Jei Yuan.

Petronas mula membekalkan LNG kepada CPC pada 1995 melalui kontrak selama 20 tahun bagi bekalan tahunan sebanyak 2.25 juta tan LNG.