Wednesday 26 March 2014

Capex sektor huluan O&G cecah RM198b

Perbelanjaan modal (Capex) untuk sektor huluan minyak dan gas (O&G) Malaysia dijangka mencecah hampir AS$60 bilion (RM198 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, era inovasi pada ketika ini menjadi pendorong kepada pertumbuhan perbelanjaan sektor huluan O&G di rantau Asia.

Beliau berkata, perbelanjaan global dijangka mencecah AS$700 bilion (RM2.31 trilion) dalam tempoh sedekad akan datang dengan 20 peratus daripadanya akan dibelanjakan di Asia Tenggara.

"Kita telah melihat perkembangan yang pesat terhadap inovasi mengekstrak hidrokarbon, teknologi dan kaedah baharu sehingga membolehkan akses pencarian minyak dan gas dapat dilakukan di kawasan yang sukar," kata beliau dalam ucapan perasmian Persidangan Teknologi Luar Persisir (OTC) Asia 2014 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dan Pengerusi Lembaga Pengarah OTC, Edward Stokes.

Menurut Najib, bagi memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor tersebut di rantau ini, Malaysia berminat menarik lebih ramai peserta antarabangsa untuk membuat pelaburan strategik di negara ini dan melengkapkan syarikat tempatan.

"Malaysia kini merupakan salah satu pembangun utama sektor O&G di dunia. Sejak skim Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) diperkenalkan pada 1977, lebih 100 kontrak telah dianugerahkan kepada pemain utama sektor huluan O&G," kata Perdana Menteri.

Jelasnya lagi, Malaysia memiliki ramuan terbaik bagi menjadi hab tenaga peringkat serantau. Ini bersandarkan kepada industri O&G tempatan yang aktif selain disokong oleh sumber yang signifikan.

"Malaysia juga mempunyai rangka kerja perundangan dan peraturan yang kukuh bagi menjaga kepentingan pelabur komersial. Kita juga berada di dalam kedudukan yang baik untuk menjadi hab peralatan dan mesin O&G, fabrikasi serta perkhidmatan di peringkat serantau," kata Najib lagi.

lazada malaysia