Friday, 28 March 2014

IIOGTC jadikan Terengganu pengeluar tenaga mahir industri petroleum dunia

Terengganu bakal menjadi pusat pengeluar tenaga kerja mahir dan profesional bagi keperluan industri petroleum di seluruh dunia dengan kewujudan Pusat Latihan Minyak dan Gas Bersepadu Instep (IIOGTC).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mengalu-alukan langkah Petronas itu berkata, IIOGTC yang terletak di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) di Batu Rakit selari dengan hasrat kerajaan menjadikan negeri ini sebagai syurga pelabur.

Katanya, dengan kapasiti sehingga 1,700 pelatih tempatan dan luar negara setiap tahun, IIOGTC boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berkenaan pada masa depan bagi negeri, negara dan antarabangsa.

"Saya yakin dengan kewujudan pelbagai kemudahan berintegrasi di Instep termasuk IIOGTC ini, kita dapat melahirkan tenaga kerja yang lebih bersifat global di sini," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran IIOGTC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jalamuddin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dan Naib Presiden Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Raiha Azni Abdul Rahman.

Katanya, kerajaan negeri akan memberikan komitmen untuk sentiasa menyokong sebarang usaha Petronas dan pihak pengurusan Instep dalam menjadikan IIOGTC sebagai sebuah institusi profesional serta dikagumi di persada dunia.

"Kewujudan pusat latihan bersepadu ini bukan sahaja akan menjadikan Terengganu sebagai destinasi latihan di bidang petroleum yang lebih unggul di mata dunia, malah ia secara tidak langsung akan menaikkan nama negeri dan Malaysia secara umumnya.

"Di samping itu, dengan adanya pusat latihan ini, keupayaan anak tempatan dalam bidang pendidikan dan sumber manusia khususnya di kalangan mereka yang terlibat dengan industri petroleum dan gas pastinya akan mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Instep bagi membolehkan anak negeri yang berkebolehan diberi peluang menyertai pusat latihan tersebut.

"Kita akan tengok keperluan semasa. Jika perlu, kita akan pastikan anak Terengganu tidak akan melepaskan peluang ini," ujar beliau.

Sementara itu, Khairy berkata, melalui pelaburan yang dilakukan oleh syarikat minyak negara itu dapat memberi pendedahan lebih meluas kepada belia di negara ini untuk berdaya saing dalam industri berasaskan teknikal yang menuntut tahap kemahiran tinggi.

''Instep satu landasan yang hebat bagi golongan belia mencorakkan perjalanan kerjaya mereka dalam industri minyak dan gas, sektor yang dilihat cukup menarik dan mencabar," katanya.

Menurut beliau, pihak kementerian sedang melakukan proses transformasi program-program di institusi-institusi yang dikelolakannya dan Petronas selaku peneraju dalam industri tersebut diharap dapat memberi kerjasama berterusan menjayakannya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Petronas yang telah menghasilkan kurikulum bagi program lgatihan berasaskan industri berkenaan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor yang dilancarkan tahun lalu.

lazada malaysia