Thursday 20 March 2014

Barakah Offshore Sasar Projek Bernilai RM3 Bilion

Barakah Offshore Petroleum Bhd, penyedia perkhidmatan talian paip luar pesisir, sedang membida kontrak bernilai RM3 bilion.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Nik Hamdan Daud berkata syarikat itu membida kontrak jangka panjang dan jangka pendek di Arab Saudi, Indonesia, Brunei, Vietnam serta dalam negara.

"Bagi kontrak Arab Saudi, syarikat itu sedang dalam proses re-tendering dan keputusannya akan diketahui pada bulan depan," katanya pada taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini Rabu.

Januari lepas, Barakah dilaporkan merupakan satu daripada tiga pembida bagi kerja pemasangan dan pengangkutan Arab Saudi.

Tugas itu akan menjadi rangsangan utama kepada sentimen, pendapatan dan nilai francais Barakah, berpotensi meningkat RM50 juta kepada RM70 juta setahun kepada keuntungan bersihnya, menurut satu laporan.

Nik Hamdan berkata keseluruhan projek yang ditender, sebahagian besarnya daripada salah satu teras perniagaannya, pengangkutan dan pemasangan.

Mengenai rancangan peluasan, Nik Hamdan berkata syarikat itu akan mengembangkan aktiviti perniagaan kepada kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan sektor pengoperasian.

"Terdapat banyak peluang di peringkat tempatan berikutan permintaan yang tinggi dalam pasaran dan kami bekerjasama dengan syarikat antarabangsa yang mempunyai aset di sini.

"Kami akan fokus kepada projek tempatan dan perlahan-lahan mengembangkan perniagaan kami ke luar negara," katanya.

Beliau berkata syarikat akan cuba memahami budaya tempatan, implikasi cukai, potensi pasaran serta keupayaannya sebelum meneroka ke luar negara.

Nik Hamdan berkata jumlah projek dalam tangan syarikat itu sehingga 31 Dis 2013 berjumlah RM2.24 bilion, membolehkan ia sibuk sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Presiden/Ketua Eksekutif Syed Abdul Rahim Syed Jaafar berkata kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan dua angka dalam pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2014.

"Kebanyakan pendapatan kumpulan kami diperoleh dari Malaysia, namun kami juga mencari peluang di rantau ini bagi pertumbuhan masa depan," katanya.

Sehingga 30 Sept 2013, Barakah mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM57.62 juta dengan sokongan RM298.90 juta pendapatan. -- BERNAMA

lazada