Tuesday 18 March 2014

Penyelesaian BASF Percepat Proses Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang

BASF, syarikat bahan kimia utama, memainkan peranan penting dalam pembangunan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang), jambatan terpanjang di Asia Tenggara.

Pelbagai penyelesaian BASF digunakan dalam pembinaan jambatan itu yang mempercepatkan proses pembinaannya, selain mengukuhkan kecekapan pembinaan dan ketahanan konkrit.

"Penyelesaian BASF memastikan projek pembinaan utama di Malaysia dan dunia dibina dengan kualiti dan produktiviti yang ditingkatkan dalam tempoh jangka masa pengeluaran yang ketat," kata Pengarah Urusan BASF Malaysia Sdn Bhd Daniel Loh dalam kenyataan Selasa.

MasterGlenium ACE, campuran konkrit dalam penyelesaian pembinaan memain peranan dalam memastikan ikon baharu Pulau Pinang itu disiapkan mengikut jadual.

Terdapat 11 penyelesaian BASF lain digunakan dalam pembinaan jambatan bernilai RM4.5 bilion itu, termasuk kalis air dan 'mortar'.

Selain jambatan tersebut, penyelesaian BASF turut digunakan dalam kebanyakan projek mega yang lain, iaitu Menara Kembar Petronas, Empangan Bakun, Loji Kuasa Manjung dan Jambatan Pulau Bunting.


Menurut syarikat yang berpangkalan di Jerman itu, populasi dunia diunjurkan meningkat kepada lebih sembilan bilion orang menjelang 2050, terutama di kawasan metropolitan utama pasaran pesat membangun dan negara membangun.

"Pertumbuhan itu menjadikan industri pembinaan berhadapan dengan cabaran untuk memenuhi keperluan menyediakan perumahan berkualiti, selain mengambil kira aspek alam sekitar dan ekonomi," katanya.

Jumlah jualan industri pembinaan mewakili antara lima peratus dan 10 peratus kepada jualan kumpulan BASF, menjadikan industri pembinaan satu daripada industri pelanggan utamanya.

Tahun lepas, BASF mencatatkan jualan sebanyak 74 bilion euro dengan jumlah kakitangan seramai lebih 112,000 orang.