Saturday 12 July 2014

Rasionalisasi subsidi, GST minyak dikaji

Keputusan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap bahan api RON 95 dan diesel akan diumumkan kerajaan pada suku keempat tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, selepas pengumuman itu dibuat, pelaksanaannya dijangka bermula pada tahun depan.

Katanya, kerajaan mahu mengkaji impak keseluruhan pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan GST bahan api kepada rakyat serta peringkat-peringkat gaji rakyat yang mungkin menerima subsidi dan dikecualikan daripada GST bahan api.

"Kita mungkin memberi subsidi kepada peringkat gaji tertentu. Sebagai contoh, mungkin mereka yang berpendapatan RM1,000 ke bawah akan diberi subsidi bahan api," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan kebangsaan GST selama dua hari di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Agensi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heng.

Tambah Ahmad Husni, kerajaan dijangka memperoleh pendapatan sebanyak RM8 bilion daripada GST pada tahun kedua pelaksanaannya.

Pada tahun pertama yang bermula 1 April 2015 ujar beliau, pendapatan tambahan GST yang akan diperoleh kerajaan adalah sebanyak RM2.5 bilion.

Ditanya mengenai kesan pelaksanaan GST kepada penduduk luar bandar, Ahmad Husni berkata, penduduk luar bandar akan menerima impak yang minimum.

Katanya, setelah GST dilaksanakan, harga barangan dijangka sedikit meningkat, tetapi banyak barangan keperluan yang tidak dikenakan GST.

"Rang undang-undang senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kadar sifar akan digazetkan Ogos ini," ujar beliau.