Tuesday 3 August 2010

Langgar undang jalan raya: kakitangan Shell boleh dibuang kerja

Kakitangan Shell berdepan risiko dibuang kerja jika mereka melanggar satu daripada empat undang-undang jalan raya, termasuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Pengerusi Shell Malaysia Anuar Taib berkata empat undang-undang tersebut ialah tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, memandu melebihi had laju yang dibenarkan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memandu ketika mabuk.

“Sebagai majikan yang bertanggungjawab, Shell berhasrat mencapai kadar sifar kemalangan lalu lintas berkaitan kerja dengan memfokus kepada perlakuan dan syarat-syarat mudah,” katanya ketika berucap pada Kejohanan Lalu Lintas Shell peringkat negeri Sarawak di sini.

Menteri Muda Pelancongan Sarawak Datuk Talib Zulpilip, yang mewakili Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong, menutup kejohanan itu.

Anuar berkata mudah bagi Shell menguatkuasakan peraturan itu dalam operasinya kerana kakitangan syarikat tersebut telahpun menandatangani satu ikrar untuk mematuhi kesemua syarat berkenaan semasa mereka diambil bekerja.

Beliau berkata kejohanan yang diadakan setiap tahun itu merupakan salah satu cara Shell berkongsi aspirasi keselamatan jalan raya dan objektifnya dengan orang awam, terutama generasi muda.

Anuar berkata lebih sejuta pelajar sekolah mendapat faedah daripada program tersebut di seluruh negara sejak ia diperkenalkan pada 1957.

“Bagi tahun ini, lebih 3,000 pelajar sekolah mengambil bahagian,” katanya. — Bernama