Tuesday 16 October 2012

Faedah Belanjawan Untuk Tarik Lebih Banyak Firma Terlibat Dalam Sektor O&G -- LSE


Faedah cukai Belanjawan 2013 untuk pelaburan dalam sektor minyak dan gas (O&G) akan menarik lebih banyak firma melibatkan diri dalam sektor hiliran, penapisan dan kemudahan penyimpanan untuk petroleum.

Ketua pegawai eksekutif Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd (LSE), Mohd Azman Nasir, berkata ini akan mendorong sektor itu, terutamanya di Labuan dan Sabah.

"Belanjawan 2013 telah menunjukkan komitmen kukuh kepada sektor O&G, yang mana Labuan adalah salah satu fabrikator utama," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pengecualian pada cukai korporat dan pegangan untuk 10 tahun bagi syarikat-syarikat yang terbabit dalam penyimpanan petroleum di Johor.

Terdapat juga 100 peratus pelepasan cukai pelaburan untuk 10 tahun bagi syarikat-syarikat baharu yang memasuki sektor penapisan negara.

Beliau berkata sektor O&G adalah penting kerana ia mewakili sehingga 30 peratus pelaburan di bawah Program Transformasi Kerajaan.

"Ini akan memberikan dorongan kepada peserta O&G, terutamanya mereka di sektor hiliran dan ini akan mengukuhkan aktiviti kewangan mereka," katanya.

Azman berkata insentif itu akan membantu peserta menggunakan dana yang diperuntukkan sebagai cukai untuk kegunaan pelaburan semula.

Beliau berkata tidak semua syarikat O&G, bagaimanapun, akan mendapat manfaat daripada insentif-insentif ini kerana kebanyakan manfaat ini akan memberi faedah kepada peserta hiliran dan cecair gas asli.

-- BERNAMA