Tuesday, 2 October 2012

Petronas peruntuk RM132b


Petronas memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM132 bilion untuk aktiviti eksplorasi dan pengeluaran (E&P) dalam tempoh lima tahun dalam usaha memastikan Malaysia menjadi hab minyak dan gas rantau ini.

Naib Presiden Eksekutif E&P Petronas, Datuk Wee Yiaw Hin berkata, jumlah tersebut merupakan 70 peratus daripada AS$59 bilion (RM188.8 bilion) perbelanjaan modal untuk aktiviti E&P luar persisir industri minyak dan gas.

''Dalam tempoh lima tahun akan datang Petronas sedang meninjau untuk mengekalkan dan mengembangkan pengeluaran minyak dan gas," katanya kepada pemberita pada taklimat media, baru-baru ini.

Tambah Yiaw Hin, Petronas telah melancarkan tiga langkah strategik utama untuk memastikan perkara tersebut dapat dilakukan.

''Pertama adalah untuk mendapatkan lebih banyak pengeluaran dari sumber sedia ada dan mempertingkatkan pencarian minyak. Terdapat banyak aktiviti yang dilakukan bagi mencapai misi tersebut.

''Kedua kita telah mempunyai medan (minyak) tetapi tidak dibangunkan, oleh itu Petronas melaksanakan penyelesaian inovatif bagi mendapatkan sumber pengeluaran.

''Akhir sekali, kami berusaha untuk mendapatkan lebih banyak sumber dari kawasan-kawasan baru," jelasnya.

Yiaw Hin berkata, lima tahun yang lalu negara hanya mempunyai 10 hingga 12 pelantar minyak tetapi hari ini ia telah berkembang kepada 35 buah dan akan terus meningkat pada masa hadapan.

Ditanya bila Malaysia akan diiktiraf sebagai hab minyak dan gas serantau, Yiaw Hin berkata, industri tempatan telah bersedia ke arah itu memadangkan aktiviti yang banyak dalam industri munyak dan gas selain mempunyai teknologi dan infrastruktur baru dan kemampuan untuk menarik minat pemain industri antarabangsa.

''Petronas dan kerajaan telah menggalakkan syarikat-syarikat minyak dan gas antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat mereka di negara ini.

''Kita juga telah menyediakan infrastruktur bersesuaian serta bekerjasama dengan mereka yang terlibat industri bagi memastikan hasrat menjadi hab minyak dan gas tercapai.

''Aspirasi utama negara bukan sahaja menjadi pemain industri berjaya di peringkat rantau sahaja tetapi di peringkat global," katanya.