Friday 8 March 2013

Untung Sebelum Cukai Petronas Susut Kepada RM89.08 Bln


Keuntungan sebelum cukai Petronas susut kepada RM89.08 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2012 daripada RM103.79 bilion pada tempoh yang sama pada 2011 dalam persekitaran yang mencabar.

Naib Presiden Eksekutif (Kewangan) Datuk George Ratilal berkata keuntungan dan keuntungan operasi bersih selepas cukai juga berkurangan, masing-masing sebanyak RM9.6 bilion dan RM7.7 bilion, berikutan margin yang rendah hasil daripada kos operasi yang tinggi dan kerugian susut nilai bagi peralatan, kilang dan hartanah tertentu.

Perolehan bagaimanapun, naik kepada RM291.0 bilion daripada RM288.5 bilion pada 2011, kata beliau pada taklimat media mengenai keputusan kewangan 2012 syarikat minyak nasional itu Khamis.

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Dis, 2012, keuntungan sebelum cukai Petronas turun kepada RM15.16 bilion daripada RM25.39 bilion pada tempoh sama pada 2011.

Perolehannya susut kepada RM76.77 bilion daripada RM78.05 bilion disebabkan jumlah dagangan minyak mentah lebih rendah dan kenaikan ringgit berbanding dolar AS.

"Kami masih pada kedudukan untuk memasuki dan persekitaran sukar untuk beroperasi di negara berkenaan.

"Mengenai kemungkinan pertumbuhan, adalah diharapkan keseluruhan persekitaran akan berubah dan jurubank menjadi lebih mesra dari segi peruntukan pinjaman," katanya.

Mengenai operasi Petronas di Sudan, Shamsul Azhar berkata Petronas akan berbincang dengan pihak berkuasa Sudan untuk melanjutkan tempoh pengeluarannya.

"Sudan masih menjadi penyumbang utama kami, malah semua pelaburan kami diperoleh sepenuhnya," kata beliau.

Perolehan pengeluaran dan penerokaan syarikat menyaksikan penurunan disebabkan oleh arahan henti kerja dalam operasi Sudan Selatan serta penyusutan aset di Mesir.

-- BERNAMA