Thursday, 15 May 2014

Keuntungan suku pertama Petronas Dagangan RM223 juta

Keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan Bhd bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2014, turun kepada RM223.13 juta daripada RM326.96 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatan naik kepada RM8.29 bilion daripada RM7.61 bilion sebelumnya berikutan peningkatan purata harga jualan dan kuantiti jualan masing-masing sebanyak 7.2 peratus dan 1.3 peratus, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Petronas Dagangan menyatakan pendapatan segmen runcit meningkat sebanyak RM480.3 juta disebabkan terutamanya harga jualan tinggi gas dan diesel yang disubsidikan seperti yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia pada 3 September tahun lalu.

Pendapatan segmen itu terus disokong oleh peningkatan kuantiti jualan terutamanya bagi diesel sebanyak 10.5 peratus berikutan kuota tambahan yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semasa suku berkenaan.

Pendapatan segmen komersil juga meningkat sebanyak RM193.2 juta di atas sokongan harga jualan purata tinggi sebanyak 5.7 peratus, meskipun penurunan sedikit kuantiti jualan sebanyak 1.1 peratus.

Mengenai prospek masa depan, ia berkata Petronas Dagangan komited untuk mengekalkan penerajuan pasarannya dan mengembangkan perniagaan syarikat itu di dalam negeri menerusi pengukuhan jenamanya dan pemantapan pengurusan hubungan pelanggan.

Syarikat itu juga akan terus mengoptimumkan kosnya menerusi pengukuhan kecekapan bekalan dan pengedaran dan peningkatan kecemerlangan operasi terminal untuk menambah baik lagi kos operasi.
Segmen runcit dijangka mengekalkan sumbangan marginnya, terutamanya daripada jualan produk petroleum disubsidi dengan memanfaatkan rangkaian wakil pengedar dan stesen minyaknya yang meluas, penawaran produk dan perkhidmatan yang berbeza untuk terus memenuhi jangkaan pelanggan.

Sementara itu, Petronas Dagangan menyatakan segmen komersial dijangka mengekalkan prestasi kewangannya dengan memanfaatkan jumlah pelanggan sejajar dengan peningkatan perbelanjaan sektor kerajaan dan swasta bagi projek prasarana.

"Gabungan produk sekarang akan menjadi kelebihan kerana ia membolehkan segmen tersebut memanfaatkan peluang yang timbul daripada harga produk petroleum yang turun naik," menurutnya.

- BERNAMA